Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Konvensyen Pilihanraya KEADILAN 2022 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 27 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar sindir pemimpin terbabit rasuah rai Najib masuk penjara

SHAH ALAM, 27 OGOS: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir beberapa pemimpin yang dipercayai terlibat dalam rasuah meraikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berkata beliau hairan tindakan golongan terbabit yang bergembira sedangkan hakikatnya mereka sendiri turut korup.

“Bila satu kes mantan perdana menteri dihukum ada perasuah beria-ria mengatakan kami yang membuka isu ini, mereka ini bapa perasuah juga.

“Kita jangan terpalit dengan fahaman sempit ini, kita benci dengan kegiatan menggunakan kedudukan mengenakan rakyat dan mengkayakan diri mereka dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Pilihanraya KEADILAN 2022 di Dewan Raja Muda Musa di sini hari ini.

Ketua pembangkang itu mengingatkan pimpinan dan ahli parti untuk berwaspada serta jangan sesekali mengikut jejak langkah berkenaan.

“Sebab itu niat, nawaitu perlu ikhlas jika tidak kita akan kecundang,” katanya.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa lalu mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram serta pecah amanah berjumlah RM42 juta dana SRC International.


Pengarang :