BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

‘Asap’ pesawat bawa padah terhadap manusia?

Oleh Zamir Mohyedin

Tentu pernah beberapa kali anda mendongak dan memerhatikan satu ataupun banyak garisan lurus berwarna putih yang menghiasi langit. Kadangkala anda sempat memerhatikan garisan lurus putih ini dilepaskan oleh jet ataupun kapal terbang.

Ada orang memanggilnya jejak-kimia (chemtrail) kerana sangkaan kepulan asap putih ini mengandungi racun yang memudaratkan manusia. Terdapat sangkaan organisasi tertentu merancang untuk menurunkan populasi manusia melalui jejak-kimia.

Terdapat sesetengah orang memanggil jejak putih ini sebagai jejak-wap (contrail). Saintis memanggilnya jejak-wap. Mengapa? Jejak-wap terbentuk hasil daripada ekzos kapal terbang ataupun jet.

Hidrokarbon merupakan ramuan utama bahan bakar, bukan sahaja untuk kapal terbang tetapi juga kenderaan darat seperti kereta dan motosikal walaupun kereta menggunakan gasolin dan kapal terbang menggunakan kerosin.

Bahan bakar yang terdiri daripada pelbagai jenis hidrokarbon digunakan untuk menghidupkan enjin sebenarnya dibakar dengan campuran udara. Produk utama yang banyak terhasil daripada tindakbalas ini ialah haba, karbon dioksida dan wap air.

Beza suhu

Amnya, asap-asap kereta, motor dan kapal terbang melepaskan bahan-bahan ini (haba, karbon dioksida dan air) walau komposisi bahan bakar antara kenderaan laut dan kenderaan darat sedikit berbeza. Tetapi mengapa asap kereta tidak menghasilkan jejak-wap seperti kapal terbang? Jawapannya kerana suhu.

Suhu permukaan bumi amat berbeza dengan suhu atmosfera bumi. Semakin tinggi kita naik, suhunya semakin sejuk. Kapal terbang dan jet biasanya terbang pada jarak 9 kilometer hingga 11 kilometer dari permukaan Bumi. Suhu pada altitud ini berada pada -30 darjah hingga -50 darjah Celsius. Iya, sangat sejuk.

Suhu yang sejuk sebenarnya menyebabkan wap yang panas terhasil daripada kapal terbang memeluwap (condense). Seterusnya wap bertukar menjadi air dalam bentuk cecair ataupun pepejal (ais).

Sebab itulah saintis menamakan jejak putih ini sebagai “contrail”. “Con” berasal daripada perkataan “condense”. Tindakbalas ini berlaku apabila bahan panas bertembung dengan persekitaran sejuk.

Kita dapat memerhatikan proses kejadian ini di persekitaran kita sendiri. Jika kita pernah pergi ke negara sejuk, nafas kita sendiri pun akan menghasilkan kepulan asap daripada mulut.

Kepulan itu terbentuk kerana udara pernafasan kita yang panas bertembung dengan persekitaran sejuk. Jejak-wap yang terhasil daripada ekzos kereta pun dapat diperhatikan jika memandu di persekitaran sejuk.

Proses sama juga berlaku pada pembentukan awan. Haba matahari yang menyinari lautan menghasilkan wap air. Wap air yang naik dan bertembung dengan atmosfera sejuk menghasilkan awan melalui proses pemeluwapan.

Jejak-wap tidak bahaya

Ada sesetengah kapal terbang tidak menghasilkan jejak-wap. Ada sesetengah jejak-wap pula cepat hilang. Kemunculan jejak-wap bergantung pada cuaca, suhu dan lokasi altitud kapal terbang.

Jika cuaca terlalu panas, jejak-wap susah untuk terhasil dan cepat pula menghilang. Sebab itulah ramai mendakwa sering nampak jejak-wap pada waktu pagi walaupun waktu bila pun tidak begitu ketara perbezaannya kerana altitud tinggi tetap sejuk suhunya. Jika pesawat terbang terlalu rendah pun, jejak-wap tidak akan terhasil.

Jejak-wap tidak berupaya memanipulasi atau mengubah cuaca seperti yang digembar-gemburkan. Jejak-wap juga tidak menabur baja virus atau bakteria untuk membunuh manusia. Jejak-wap tidak berbahaya kepada manusia.

Sekiranya kita bimbang dengan kemunculan jejak-wap di atmosfera, kita perlu bimbang juga dengan asap kereta dan motosikal kerana semua kenderaan ini menghasilkan produk yang sama.

Malah, lebih banyak asap dikeluarkan daripada kenderaan darat berbanding pesawat. Jika selepas ini anda memerhatikan kemunculan jejak-wap di mana-mana, tidak perlu bimbang lagi. Ia hanyalah wap air yang memeluwap di atmosfera sejuk.

*Zamir Mohyedin adalah penyelidik kedoktoran di Universiti Teknologi Mara. Beliau seorang ahli fizik yang menulis lapan buku


Pengarang :