Aksi Muhammad Ilham Suhaimi dalam salah satu kejohanan. Foto Muhammad Ilham Suhaimi
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Atlet kebah demam pecah rekod SUKMA, sasar pertahan emas 400 meter

Oleh Faysal Amani

Muhammad Ilham Suhaimi sama sekali tidak menyangka mampu melintasi garisan penamat dengan masa 47.02 saat pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Stadium Perak di Ipoh pada 2018.

Pelari dari Ampang itu bukan setakat meraih emas acara 400 meter, malah meleburkan rekod kejohanan 47.34 saat milik Muhd Zaiful Zainal Abidin yang bertahan selama 16 tahun.

Bagi Muhammad Ilham yang ketika itu berusia 18 tahun, beliau hanya menyasarkan untuk meraih pingat emas dalam acara kegemarannya dan langsung tidak terlintas untuk memecah rekod.

Masakan tidak, dua minggu sebelum hari pertandingan, bekas pelajar Sekolah Sukan Negeri (SSN) Selangor itu demam dan tidak berlatih selama beberapa hari.

“Sebenarnya pada 2018 itu saya sudah mencatat masa terbaik menyamai rekod SUKMA, namun disebabkan demam beberapa hari menjelang pertandingan, saya kurang yakin dapat merekod masa terbaik.

Muhammad Ilham semakin menyerlah apabila menggondol dua emas acara 400 dan 4×400 meter pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Pulau Pinang. Foto Muhammad Ilham

“Selepas pulih, badan terasa kurang cergas dan pada hari pertandingan saya berlari dengan sepenuh jiwa raga… Alhamdulillah rezeki saya pecahkan rekod kejohanan,” imbau Muhammad Ilham ketika ditemu bual Selangorkini baru-baru ini.

Tahun berkenaan turut menyaksikan mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menempa beberapa lagi pencapaian cemerlang dalam kejohanan antarabangsa.

Muhammad Ilham menyumbang empat pingat emas untuk negara dalam kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) ke-10 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur menerusi acara 200, 400, 4×100 serta 4×400 meter.

Dia juga membantu meraih pingat gangsa untuk Malaysia dalam kejohanan Remaja Asia di Jepun menerusi acara 4×400 meter.

Emas sejak darjah lima

Mengimbau detik awal berkecimpung dalam olahraga, anak ketiga daripada 10 beradik itu berkata segalanya bermula ketika kejohanan sukan sekolah pada 2011.

Muhammad Ilham

“Ketika itu saya berada dalam darjah lima apabila meraih emas acara 100 dan 200 meter. Tambah manis saya menewaskan pelari darjah enam. Sejak itu saya terpilih mewakili daerah.

“Apabila memasuki SSN Selangor, saya mula menumpukan pada acara 400, 200 serta 200 meter lari berpagar dan terpilih mewakili negeri ketika dalam tingkatan dua,” katanya.

Di tingkatan lima, bakat Muhammad Ilham semakin menyerlah apabila menggondol dua emas acara 400 dan 4×400 meter pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Pulau Pinang.

Pada tahun sama, beliau mewakili Malaysia dalam tiga kejohanan iaitu Olahraga Remaja Asia Tenggara (perak 400 meter), Remaja Asia (perak 400 meter) serta Sukan Komanwel Remaja 2017 di Bahamas.

Mengenai sasarannya pada SUKMA 2022 yang bakal berlangsung di Lembah Klang bermula 16 hingga 24 September ini, Muhammad Ilham mahu mempertahan kilauan emas acara 400 meter, selain mengungguli acara 4×400 meter, seterusnya layak ke Sukan SEA di Kemboja pada tahun depan.

“Pertahankan emas acara 400 meter itu paling utama bagi saya. Untuk pecah rekod sekali lagi mungkin agak sukar kerana momentum sedikit menurun disebabkan kurang persediaan serta pertandingan disebabkan kekangan akibat pandemik Covid-19 selama lebih setahun.

“Apa pun saya sudah membuat persiapan rapi di bawah bimbingan jurulatih skuad pecut negara, Dwayne Miller dan berharap akan ada lagi kejutan seperti temasya di Perak empat tahun lalu,” katanya.

Berkongsi mengenai rutin hariannya sebagai mahasiswa, Muhammad Ilham yang kini berada pada tahun dua jurusan pendidikan jasmani mengakui ‘bertarung dengan masa’ untuk membahagikan antara sukan dan pelajaran.

“Sebagai atlet, jadual latihan saya sentiasa padat apa lagi menjelang sesuatu kejohanan. Saya berlatih setiap Isnin hingga Sabtu di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, sama ada pada sebelah pagi atau petang.

“Biasanya saya mengulang kaji pelajaran atau menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah pada waktu malam. Rakan-rakan sekuliah banyak membantu saya.

“Saya bersyukur kerana UPM memberi keistimewaan kepada atlet seperti saya dengan memberi pelepasan.

“Bagi memastikan saya tidak terlalu terbeban dengan pelajaran di universiti, saya kurangkan pengambilan subjek pada setiap semester supaya dapat terus fokus terhadap sukan,” katanya.


Pengarang :