Kakitangan JPS menggunakan Jentera ekskavator milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah tekun menjalankan kerja-kerja mendalamkan Sungai Kupang di Lata Celak, Baling pada 29 Julai 2022 berikutan berlaku kejadian banjir akibat hujan lebat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir Baling: 27 mangsa masih berlindung di dua pusat pemindahan

ALOR SETAR, 4 OGOS: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Baling berkurangan kepada 27 orang pada pagi ini berbanding 31 orang malam tadi.

Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling Lt (PA) Mohd Dzulhaidy Khalil berkata seramai 13 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Habsah manakala 14 mangsa daripada tiga keluarga berada di PPS Dewan Tun Abdul Razak setakat pukul 8 pagi ini.

“Sebuah keluarga yang terdiri daripada tiga orang telah pulang ke rumah malam tadi sekali gus menjadikan jumlah mangsa yang masih berada di dua PPS yang dibuka sejak Selasa lepas seramai 27 orang daripada tujuh keluarga.

“Kesemua mangsa dijangka akan pulang ke rumah masing-masing hari ini dan PPS akan ditutup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hujan lebat selama lebih satu jam, Selasa lepas telah menyebabkan beberapa rumah di Mukim Baling, Mukim Bakai dan Mukim Siong dinaiki air.

– BERNAMA


Pengarang :