Kakitangan JPS menggunakan Jentera ekskavator milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah tekun menjalankan kerja-kerja mendalamkan Sungai Kupang di Lata Celak, Baling pada 29 Julai 2022 berikutan berlaku kejadian banjir akibat hujan lebat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir Baling: Sembilan keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan

ALOR SETAR, 3 OGOS: Sebanyak sembilan keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah Baling malam tadi berikutan banjir yang berlaku susulan hujan lebat, petang semalam.

Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling Leftenan (PA) Mohd Dzulhaidy Khalil berkata setakat ini jumlah sebenar mangsa yang terbabit bencana itu belum diperoleh kerana proses pemindahan sedang dijalankan.

“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Habsah yang dibuka pada pukul 8.30 malam tadi menempatkan lima keluarga manakala PPS Dewan Tun Abdul Razak yang dibuka pada pukul 9.30 malam menempatkan empat keluarga.

“Hujan lebat pada pukul 6 petang selama satu jam itu telah menyebabkan air Sungai Baling melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal berhampiran tebing sungai,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian banjir itu pada pukul 7 malam dan setibanya di lokasi, anggota bertugas mendapati beberapa rumah telah dimasuki air.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata hujan lebat itu menyebabkan air sungai melimpah masuk ke kawasan Hospital Baling, bagaimanapun tiada kemalangan atau kecederaan yang dilaporkan setakat ini.

“Beberapa unit kuarters, bilik persalinan dan taska Hospital Baling telah dinaiki air…keadaan air kini sudah mulai surut dan kerja pembersihan akan dijalankan malam ini (tadi) dan esok pagi (hari ini),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :