EXCO Pengguna Mohd Zawawi Ahmad Mughni diberi penerangan mengenai aplikasi Whoscall oleh Vc Liew (kiri) dan Jym Chee ketika diwawancara Media Selangor di pejabatnya di Bangunan SUK, Shah Alam pada 24 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Banteras jenayah siber, negeri jalin kerjasama syarikat teknologi maklumat

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Negeri menjalin kerjasama dengan syarikat teknologi maklumat Gogolook bagi membanteras kegiatan jenayah siber.

EXCO pengguna dan industri halal berkata melalui inisiatif itu, pengguna dapat mengesan penipuan secara panggilan telefon menerusi aplikasi Whoscall.

“Pengguna yang memuat turun aplikasi dalam telefon bimbit masing-masing boleh mengetahui sama ada panggilan diterima datang dari pihak yang sahih atau tidak.

“Pelancaran aplikasi ini dibuat esok. Kita harap ramai pengguna memanfaatkan aplikasi ini serta lebih peka bagi mengelakkan lebih ramai tertipu,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni di sini, hari ini.

Majlis pelancaran esok berlangsung di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena forum kesedaran penipuan dalam talian.

Mohd Zawawi berkata pihaknya melakukan pelbagai cara termasuk bekerjasama dengan pempengaruh media sosial Boss James bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung jenayah alam maya ini.

“Kita turut anjurkan pertandingan menulis rencana, pidato dan forum dalam kalangan pelajar. Tindakan ini memberi maklum balas positif,” katanya.

Awal bulan ini, timbalan pengarah  (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial memaklumkan sebanyak 11,367 kes jenayah siber direkodkan sepanjang Januari hingga Julai.

Jelas SAC Victor Sanjos, trend jenayah itu dari 2016 hingga Julai 2022 menunjukkan peningkatan daripada 39 peratus kepada 61 peratus.


Pengarang :