Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Bantuan Sekolah Negeri Selangor sempena Jelajah Selangor Penyayang di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Bantuan sekolah negeri tampung kos baik pulih, sedia kemudahan selesa

GOMBAK, 1 OGOS: Pengurusan sekolah gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan membaik pulih kemudahan menerusi program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2022.

Setiausaha Maahad Tahfiz Huzaifiyyah Wahyi Shariff berkata pihaknya bersyukur menerima dana berjumlah RM40,000 kerana kali terakhir sekolah tersebut menerima sumbangan adalah tiga tahun lalu.

Setiausaha Maahad Tahfiz Huzaifiyyah Wahyi Shariff. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Tahfiz ini mempunyai seramai 60 pelajar dan menjalankan operasi menggunakan dana sendiri. Sumbangan seperti ini membantu meringankan beban pihak pengurusan terutama menampung keperluan pelajar anak-anak yatim.

“Dengan sumbangan ini, kita bercadang untuk membaik pulih kebocoran dan menggunakan perbelanjaan makan minum pelajar,” katanya ditemui di Jelajah Selangor Penyayang di Padang Awam Batu Caves di sini, semalam.

Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) San Yuk Rawang Lim Kim Leong berkata sekolahnya menerima bantuan berjumlah RM60,000 dan digunakan untuk membaiki infrastruktur.

Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) San Yuk Rawang Lim Kim Leong. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Bantuan ini akan dimasukkan ke dalam akaun pengelola sekolah dan setiap wang diterima setiap tahun digunakan untuk baik pulih kemudahan pelajar.

“Kita bercadang untuk menaik taraf bilik sains dan membina susur gajah sekolah demi keselesaan pelajar,” katanya.

Guru Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Taman Melawati Victor berkata pihaknya akan mencadangkan sumbangan ini digunakan untuk memasang besi di longkang bagi menjamin keselamatan pelajar.

“Selain itu, kita juga mahu menambah lima lagi bilik darjah yang menjadikan keseluruhannya sebanyak 13 kelas serta membina bilik khas seperti komputer, sains dan perpustakaan.

Guru Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Taman Melawati Victor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita juga mahu melihat kemudahan tandas guru. Tandas murid-murid semuanya sudah diselenggara cuma untuk guru perlu dinaik taraf,” katanya yang menerima bantuan berjumlah RM65,000.

Terdahulu, menerusi Jelajah Selangor Penyayang di Padang Awam Batu Caves hari ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2022 berjumlah lebih RM1.83 juta kepada 10 buah sekolah di daerah ini.

Sekolah yang menerima manfaat tersebut ialah Sekolah Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) Integrasi Al-Ehsan, Maahad Tahfiz Huzaifiyyah, Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Mustaqim, Sekolah Kebangsaan Selayang Baru (2) dan Sekolah Kebangsaan (2) Gombak

Turut menerima sumbangan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina San Yuk dan Kheow Bin serta SJK Tamil Batu Caves dan Taman Melawati.


Pengarang :