Tinjauan banjir di Taman Sri Muda pada 20 Disember 2021 sekitar jam 11:30 pagi pada 20 Disember 2021. Foto FADZA ISHAK
ADNSELANGOR

Batu Tiga kumpul dana beli bot, mudahkan operasi menyelamat jika bah

SHAH ALAM, 21 OGOS: Ahli Dewan Negeri Batu Tiga sedang mendapatkan dana untuk membeli bot bagi memantapkan lagi aset menyelamat skuad bencana Dewan Undangan Negeri berkenaan.

Rodziah Ismail berkata pihaknya sudah mengagihkan jaket keselamatan kepada semua ahli bagi memudahkan misi menyelamatkan penduduk sekiranya banjir berlaku.

“Sekarang ini kita sedang dapatkan dana untuk membeli bot. Ini sebagai persiapan jika kejadian banjir pada Disember tahun lalu berulang lagi,” katanya ketika ditemui di program kesihatan percuma Selangor Saring di Seksyen 24 di sini, hari ini.

“Kali ini kita mahu lebih bersedia. Namun kita juga mengharapkan Jabatan Pengairan dan Saliran segera mendalamkan sungai untuk tampung kapaisiti air selain Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) perlu bersedia setiap masa.”

Kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam dinaiki air hampir satu meter susulan hujan lebat sejak jam 4 petang pada 20 Ogos 2022 .Foto Facebook Nik Syukriah Amin

Semalam, beberapa jalan di kawasan Taman Sri Muda antaranya Jalan Harapan, Jalan Waja, Jalan Makmur dan Jalan Mahir dinaiki air susulan hujan lebat pada 4.00 petang.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim memaklumkan bajir kilat berlaku kerana paras air yang tinggi di Sungai Rasau serta situasi air mati yang melambatkan aliran air keluar ke Sungai Rasau.

Beliau mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor segera mengaktifkan sistem dan membuka pintu pam di Taman Sri Muda.

Bagaimanapun, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan banjir kilat berkenaan surut sepenuhnya pada 6.30 petang.

Sebagai persediaan awal, JBPM Selangor menggerakkan beberapa bot penyelamat, jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (ERMS) serta 24 anggota termasuk tiga pegawai kanan ke lokasi.

 


Pengarang :