Suasana orang ramai yang berkunjung ke Laman Padi sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Serdang pada 7 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bawa sendiri jentera menuai, memancing secara simulasi antara tarikan MAHA 2022

SERDANG, 9 OGOS: Aktiviti menarik bertemakan pertanian dengan konsep moden dan kontemporari yang sesuai untuk seisi keluarga antara tarikan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di kluster Agro Lifestyle, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hari ini.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Kamarudin Dahuli berkata, selain itu pengunjung berpeluang merasai sendiri pengalaman yang sukar didapati seperti membawa jentera menuai padi dan memancing secara simulasi.

Katanya, program di bawah kluster Agro Lifestyle berlangsung sejak 4 Ogos sehingga 14 Ogos ini.

“Pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman pertanian dari segi pengendalian jentera penuaian padi menggunakan simulator. Kemasukan adalah percuma, pengunjung hanya perlu menunggu giliran sahaja untuk merasai sendiri pengalaman memandu jentera ini.

“Selain itu, kluster Agro Lifestyle juga menyediakan simulasi memancing di mana pengunjung merasai pengalaman ‘bertarung’ menarik ikan ke darat. Kita juga laksanakan pertandingan di mana hadiah akan diberi kepada pengunjung yang berjaya mendaratkan ikan terbesar sepanjang MAHA,” katanya ketika ditemui di tapak Agro Lifestyle di Dewan Hall D2, MAEPS, dekat sini.

Kamarudin berkata kluster Agro Lifestyle juga menawarkan menu-menu unik yang sukar didapati di ibu negara, antaranya ‘Ubi Telampung’ yang menjadi juadah utama di Lifestyle Cafe yang mula beroperasi pada jam10 pagi sehingga 10 malam sepanjang tempoh MAHA 2022.

“Ubi telampung ini adalah ubi kayu yang direbus menggunakan manisan daripada tebu. Kita juga ada makanan ala-ala kampung seperti pulut dengan ikan kering, peknga (lempeng), roti benggali gulai ikan dan sate arnab,” katanya.

Beliau berkata pelbagai persembahan dan aktiviti kebudayaan seperti persembahan silat, persembahan kumpulan muzik, tarian kebudayaan Sabah dan Melaka serta Dikir Barat turut diadakan pada pameran itu.

Katanya, pengunjung turut dihidangkan dengan demonstrasi pertanian yang menarik seperti jahitan pukat, pelerai buah jagung, penuaian madu kelulut, DIY mini aquascape, pembuatan sabun tanpa kimia dan demonstrasi kit ujian halal, kosmetik serta makanan.

“Selain itu, kita juga libatkan aktiviti jualan urban farming (pertanian bandar) di bawah Agro DIY kepada pengunjung yang berminat untuk dapatkan keperluan untuk laksanakan urban farming. Ada juga slot aktiviti dan jualan barangan perawatan penampilan kucing (cat grooming) kepada pengunjung yang kita laksanakan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS),” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan Agro Lifestyle turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan mengatur pelbagai program menarik pada Jumaat ini.

Sempena MAHA 2022, MADA dilantik sebagai agensi peneraju Kluster Agro Lifestyle dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi antaranya DVS, Jabatan Perikanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

– BERNAMA


Pengarang :