Penghantar barangan hadir menerima inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang diperkenalkan Kerajaan Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Bela nasib penghantar barang, Putrajaya disaran sedia insurans keselamatan

PETALING JAYA, 24 OGOS: Kerajaan persekutuan disaran menyediakan perlindungan keselamatan kepada penunggang e-panggilan bagi membela nasib golongan tersebut jika berlaku kejadian tidak diingini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku berkata penunggang e-panggilan terdedah risiko kemalangan kerana tergesa-gesa ketika proses penghantaran serta mahu mendapatkan penilaian terbaik pelanggan.

“Bila mereka mendapat pesanan tidak boleh lambat nanti dapat penilaian buruk, jadi kita dapat lihat ada yang langgar peraturan seperti langgar lampu merah sebab mahu hantar barangan tepat pada masa.

“Kerajaan perlu sediakan perlindungan keselamatan kepada mereka seperti insuran dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Kira juga mencadangkan penghantar barangan diberi gaji minima serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” kata Lim Yi Wei pada program Youth Talk ‘What The Future Holds For Malaysian’ yang diadakan di The Bibliophile Cafe di sini, malam tadi.

Beliau berkata di Selangor,  Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) diperkenalkan khusus untuk meringankan beban serta melindungi golongan tersebut.

“Di Selangor, kita melaksana program RiDE iaitu memberi subsidi untuk mendapatkan lesen motosikal, kursus keselamatan dan caruman Perkeso,” katanya.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk RM2 juta untuk meneruskan inisiatif RiDE susulan permohonan memberangsangkan dalam kalangan belia penghantar makanan.

Program RiDE menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus p-panggilan bernilai RM150 dan caruman Perkeso RM70 setahun.

Malah, menerusi program itu, seramai 3,000 penunggang p-panggilan di Selangor menyertai siri latihan keselamatan bagi mengelak risiko kemalangan jalan raya.


Pengarang :