Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan peserta kayuhan ‘Fun Ride’ sempena Program Sihat Hari Belia Negara peringkat daerah Gombak di Melawati Mall, Ampang Jaya pada 27 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Berdepan cabaran inflasi, negeri bakal umum inisiatif baharu bantu rakyat

AMPANG JAYA: 27 OGOS: Dato’ Menteri Besar bakal mengumumkan berita gembira untuk warga negeri ini pada sambutan ambang Hari Merdeka 30 Ogos ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pada malam itu nanti beliau akan mengumumkan beberapa langkah baharu untuk membantu rakyat berdepan cabaran ekonomi dan inflasi.

“Insya- Allah pada majlis tersebut kita akan melaksana dan mengumumkan beberapa langkah baru kerajaan bagi memastikan kehidupan rakyat terjamin.

“Ianya bersesuaian dengan cabaran terkini seperti cabaran ekonomi dan kesan inflasi global yang membeban masyarakat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Hari Belia Negara peringkat daerah Gombak di pekarangan Melawati Mall di sini, hari ini.

Sementara itu ketika ditanya SelangorKini apakah inisiatif baharu yang bakal diumum, beliau berkata segalanya diumum pada malam itu nanti.

“Kita nak bantu dalam beberapa perkara yang sesuai dengan situasi terkini, ada beberapa hari lagi sebelum ia dimuktamadkan dan 30 Ogos nanti ia akan dimaklumkan,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 peringkat negeri dijadual berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada jam 8 malam, 30 Ogos.

Tahun ini, Selangor memilih tema Kita Selangor Teguh Bersama yang membawa maksud kebersamaan dan keberanian rakyat di pelbagai peringkat dalam menghadapi cabaran melanda.


Pengarang :