Seramai 13 wanita menerima tawaran biasiswa dalam Majlis Penyampaian Biasiswa Wanita Berdaya Selangor (WBS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 12 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Biasiswa khas ikhtiar negeri bantu wanita lanjut pengajian

SHAH ALAM, 9 OGOS: Kerajaan Negeri memperkenal Biasiswa Wanita Selangor sebagai ikhtiar menyokong dan membuka peluang serta ruang kepada golongan itu dalam pendidikan dan pemerkasaan.

Berikutan itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM200,000 setahun diperuntuk sebagai pelaburan jangka panjang untuk terus memberdaya wanita.

“Tajaan pengajian melibatkan program diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah yang mengangkat lagi wanita ke aras terbaik kepimpinan.

“Pendidikan berterusan sangat penting untuk memperkasa wanita dalam pembangunan negeri,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau turut memaklumkan seramai 12 wanita menerima Biasiswa Wanita Berdaya Selangor kohort dua bagi program pembelajaran sepanjang hayat baru-baru ini.

Pada 13 Julai, setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar berkata negeri meneruskan kerjasama strategik dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) bagi menjayakan program tersebut.

Menurut Juwairiya Zulkifli, usaha sama itu selaras matlamat meningkatkan sosioekonomi wanita dan penyertaan golongan terbabit dalam kepimpinan serta pembuat keputusan.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.wbselangor.com.my.


Pengarang :