Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membuat penggulungan ketika Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 2 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bingkas, jualan murah barangan asas bantu rakyat sara hidup

SHAH ALAM, 2 OGOS: Pelaksanaan program bantuan negeri membolehkan rakyat meneruskan hidup dan berdepan situasi semasa seperti kenaikan harga barang dan bencana, kata Dato’ Menteri Besar.

Mengambil contoh Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu mendapat sambutan baik dengan setiap keluarga yang layak menerima RM300 sebulan.

Beliau menjelaskan manfaat yang ditambah baik daripada program terdahulu dengan peruntukan RM108 juta diberikan selama setahun menerusi e-dompet sebagai tabungan.

“Jika tidak dapat digunakan, boleh dibawa tahun depan kerana kita ingin rakyat memperkasa dan meningkatkan pendigitalan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Semenyih Zakaria Hanafi berhubung strategi negeri membantu meringankan beban kewangan rakyat susulan kenaikan harga barang dan inflasi yang meruncing.

Amirudin menambah Kerajaan Negeri turut mengadakan jualan murah barangan asas seperti ayam, telur ayam dan minyak masak menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Selain itu, katanya, bantuan Anak Istimewa Selangor (AnIS) membantu mengurangkan kos yang perlu ditanggung bagi keluarga yang mempunyai anak Orang Kelainan Upaya (OKU).

“(Inisiatif) dalam program Iltizam Selangor Penyayang secara asasnya mampu mengurangkan beban terutama berpendapatan rendah untuk memenuhi keperluan seharian,” katanya lagi.


Pengarang :