Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) pada Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMASELANGOR

Bingkas langkah tepat ketika rakyat dibebani kenaikan harga barang

SHAH ALAM, 10 OGOS: Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dianggap tepat pada masanya ketika rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

Guru, Roseny Abdullah, 39, berkata rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan dan memiliki ramai tanggungan memang memerlukan bantuan itu selepas berdepan pandemik Covid-19

Roseny Abdullah

“Walaupun saya berkhidmat sebagai guru, tetapi peningkatan harga barang turut memberi kesan, apatah lagi keluarga yang lebih susah di luar sana.

“Kadangkala saya simpati dengan nasib pelajar yang tidak dapat hadir ke sekolah kerana tidak mampu membayar kos pengangkutan.

“Inisiatif Kerajaan Selangor ini sangat membantu golongan terbabit untuk teruskan kelangsungan hidup selepas Covid-19 sekali gus menyediakan kehidupan selesa untuk anak mereka,” katanya kepada Selangorkini.

Bagi pemandu lori Mohd Rahidi Muhammad, 34, bantuan itu membuktikan Kerajaan Negeri cakna kebajikan rakyat sepertinya yang terpaksa bekerja lebih masa setiap hari demi menambah pendapatan.

Mohd Rahidi Muhammad

Bapa dua anak itu mengakui harus melakukan kerja sambilan pada hujung minggu untuk meraih pendapatan sampingan berikutan gaji sedia ada tidak mencukupi.

“Saya sambut baik inisiatif ini kerana ia meringankan beban rakyat. Bekerja sebagai pemandu lori faham sahajalah, pendapatan memang tidak cukup tetapi mahu atau tidak, terpaksa teruskan juga demi kelangsungan hidup.

“Insya-Allah, saya akan mohon bantuan ini dan harap ia diluluskan, sekurang-kurangnya boleh tampung perbelanjaan bulanan,” katanya yang menetap di Kampung Padang Jawa, di sini.

Sementara itu, suri rumah, Hazlin Samsudin, 39, berkata bantuan tersebut boleh digunakan untuk membeli barang keperluan selain peralatan sekolah dua anaknya.

Hazlin Samsudin

“Alhamdulillah, bantuan ini banyak membantu memandangkan kami hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja di bengkel kereta.

“Walaupun nilai bantuan tidak banyak tetapi ia sudah pasti melegakan rakyat yang susah, apatah lagi dengan keadaan ekonomi ketika ini,” katanya yang tinggal di Kampung Bukit Naga.

Bingkas adalah antara inisiatif dalam Iltizam Selangor Penyayang bagi menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat bagi membantu kebajikan lebih ramai rakyat di negeri ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan hampir 30,000 keluarga di Selangor bakal menerima bantuan sebanyak RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan bagi membeli keperluan asas membabitkan peruntukan RM6.3 juta yang diagih menerusi e-dompet Wavpay.


Pengarang :