EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (tiga, kiri) melancarkan buah naga jenis baharu ‘Pink Ruby’ di Pavilion Selangor sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Maeps, Serdang pada 6 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Buah naga jenis baharu ‘Pink Ruby’ ditanam meluas di Sepang

SERDANG, 6 OGOS: Selangor memperkenal satu lagi jenis atau varieti baharu buah naga dikenali “Pink Ruby” yang ditanam atas tanah seluas 10 ekar di Batu Satu, Sepang.

EXCO pertanian dan industri asas tani berkata kemunculan genetik baharu itu menjadikan negeri ini memiliki empat varieti buah naga termasuk merah, putih dan kuning.

Menurut Ir Izham Hashim, permohonan bagi mendaftar varieti buah tersebut dibuat hari ini dengan mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk mendapat pengesahan.

“Buah naga berbentuk bujur ini mempunyai berat antara 600 hingga 700 gram, kemanisan 17 hingga 18 peratus manakala kulit berwarna merah pucat dan isi merah jambu (light pink).

“Kulitnya lebih tebal berbanding buah naga isi merah dan sisik lebih kasar tetapi isinya lembut tidak seperti buah naga putih,” katanya ditemui di Pavilion Selangor di sini hari ini.

Ditemui pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, beliau berkata Kerajaan Selangor berhasrat memperluas tanaman buah itu dengan menumpukan daerah Sepang.

Ir Izham juga percaya buah naga jenis itu mempunyai nilai eksport yang tinggi jika diusahakan dengan baik sejajar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA).

“Produk ini boleh dipromosi secara meluas, namun buat masa ini hanya diusahakan sebuah syarikat iaitu Hong Long International Group Sdn Bhd.

“Kita mahu jadikan Sepang sebagai daerah yang boleh menghasilkan banyak buah naga berkualiti, apatah lagi ia buah bukan bermusim. Jadi kita kena buat perancangan rapi,” katanya.


Pengarang :