Keadaan wad pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur selepas penurunan kes tahap 4 dan 5 yang memerlukan bantuan pernafasan pada 15 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kes baharu minggu lalu turun 5.2 peratus, masuk hospital naik 2.8

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Bilangan kes baharu Covid-19 pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-30 dari 24 hingga 30 Julai menurun sebanyak 5.2 peratus berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada 29,886 kes kepada 28,339 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada tempoh sama bilangan kes tempatan menurun sebanyak 5.3 peratus daripada 29,858 kes kepada 28,286 kes manakala kes import meningkat sebanyak 89.3 peratus daripada 28 kes kepada 53 kes.

“Bilangan kes sembuh pada ME ke-30 pula meningkat sebanyak 35.4 peratus menjadi 30,823 kes berbanding 22,757 kes pada ME ke-29 manakala kes kematian mencatatkan penurunan 28.6 peratus iaitu 49 kes berbanding 63 kes pada tempoh itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata dari 25 Januari 2020 hingga 30 Julai lalu kumulatif kes baharu Covid-19 di seluruh negara adalah 4,677,270 sementara kumulatif kes sembuh sebanyak 4,594,311 kes dan kumulatif kes kematian 35,960 kes manakala kumulatif kluster adalah 7,038 kluster dengan 19 kluster aktif.

Secara keseluruhan, beliau berkata jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk tiada perubahan ditunjukkan pada ME ke-30 berbanding minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, katanya jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 2.8 peratus, dengan bilangan pesakit kategori satu dan dua meningkat 5.6 peratus manakala tiada perubahan bagi pesakit kategori tiga, empat, dan lima.

Menurut Dr Noor Hisham, peratusan pengisian katil fasiliti Covid-19 bagi katil bukan kritikal, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan PKRC pada ME ke-30 berbanding minggu sebelumnya menunjukkan tiada perubahan iaitu masing-masing kekal sebanyak 23, 14 dan tujuh peratus.

Beliau berkata kes-kes positif yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara masih lagi menunjukkan peningkatan berdasarkan perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME ke-29 dan ME ke-30

“Bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 3.2 peratus, bilangan kes baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 0.5 peratus, dan bilangan kes yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital menurun sebanyak 19.9 peratus,” katanya.

Bagi survelan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) Covid-19, beliau memaklumkan sebanyak 107 sampel ILI dikesan positif Covid-19 dengan kadar positif 14.5 peratus pada ME ke-30 manakala tiada sampel SARI dikesan positif Covid-19 dengan kadar positif kekal sifar peratus pada ME ke-30. – BERNAMA

 


Pengarang :