Sukarelawan menanam anak pokok bakau jenis ‘Rhizophora Apiculata’ dan ‘Rhizophora Mucronata’ sempena program penanaman pokok anjuran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Jabatan Perhutanan Selangor di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih, Sepang pada 27 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Dalang curi pokok bakau hanya babit individu, bukan syarikat

SHAH ALAM, 11 OGOS: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) mengesahkan tiada syarikat yang didakwa menjadi dalang mencuri pokok bakau untuk dikomersialkan.

Sebaliknya, Pengarahnya Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata kegiatan menebang dan mencuri pokok itu dibuat secara haram oleh orang perseorangan, lapor Sinar Harian.

Beliau menjelaskan seramai tiga individu ditahan kerana memiliki anak benih bakau menerusi 122 aktiviti rondaan dan pemantauan di Hutan Paya Laut setakat Jun lalu.

“Dengan jadual operasi dan pemantauan secara berkala, kegiatan pengambilan hasil hutan (kayu bakau) secara menyalahi undang-undang berada dalam keadaan terkawal,” katanya.

Ahmad Fadzil berkata JPNS bersiap siaga dengan memantau kawasan terbabit menggunakan teknologi penderiaan jauh (FMRS) dan e-Geospatial perhutanan secara imej satelit terutama di lokasi titik panas.

Menurutnya, lokasi panas berdasarkan rekod 2021 meliputi Hutan Simpan Banjar Utara, Hutan Simpan Telok Gedong, Hutan Simpan Pulau Ketam dan Tanah Kerajaan Mukim Klang.

Sebelum ini, EXCO alam sekitar berkata Selangor memandang serius kegiatan haram menebang dan mencuri pelbagai spesies pokok bakau di pesisir pantai dan hutan paya bagi komersial.

Hee Loy Sian menegaskan kegiatan itu didalangi pihak tertentu berikutan pokok bakau mendapat permintaan tinggi terutama dalam sektor pembinaan untuk dijadikan kayu cerucuk.


Pengarang :