Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Sapiah Mohd Nor berucap ketika majlis Pra Pelancaran Karnival Usahawan Orang Asli 2022 (KUOA 2022) di Cornerstone IPC, Wisma Golden Eagle Realty pada 9 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dana disediakan bantu Orang Asli ceburi perniagaan inap desa

BANGI, 19 OGOS: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menerusi kerjasama rentas kementerian akan menyediakan dana bagi membolehkan masyarakat Orang Asli berkecimpung dalam bidang perniagaan inap desa secara serius, kata Ketua Pengarahnya Sapiah Mohd Nor.

Di bawah JAKOA sendiri, katanya mereka menyediakan dana bagi pembelian peralatan dan input untuk pembinaan inap desa, bagaimanapun lebih banyak dana diperlukan bagi Orang Asli mengembangkan perniagaan mereka.

“JAKOA akan cuba menyediakan dana, kita cuba lihat aspek di saluran lain. Ada dana yang disediakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan akan terus dapatkan bantuan dari kementerian berkaitan,” katanya kepada Bernama selepas menutup kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Operasi Homestay Secara Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (Orang Asli) di sini hari ini.

Sapiah berkata Orang Asli mula menceburkan diri dalam perniagaan inap desa dengan menggunakan kelebihan lokasi keberadaan mereka iaitu jauh dari bandar dan mempelbagaikan aktiviti yang berkaitan dengan pelancongan luar bandar.

“Bagaimanapun lebih banyak kemahiran berkaitan pemasaran dan pengiklanan perlu diketengahkan agar mereka dapat membawa perniagaan inap desa ke tahap yang lebih maju,” katanya.

Kursus yang dilaksanakan dengan kerjasama JAKOA dan Institut Kemajuan Desa (INFRA) itu berlangsung selama empat bulan bermula Mei lepas dengan penglibatan 30 peserta dari Selangor, Pahang, Kelantan, Johor dan Perak meliputi lima siri kursus antaranya modul asas pengendalian makanan, pengurusan kewangan dan perkhidmatan pelanggan.

Ia antara lain bertujuan mewujudkan usahawan pelancongan luar bandar dan inap desa dalam kalangan masyarakat Orang Asli untuk lebih berdikari dan membuka pelbagai laluan kerjaya bagi mereka.

Muhammad Jamil Asun, 34, dari Kampung Orang Asli Gerachi Jaya, Kuala Kubu Bharu, Selangor berkata kemahiran dan tunjuk ajar yang diterima diharap dapat diaplikasikan setelah beliau mengusahakan inap desa atau chalet miliknya kelak.

“Sekarang saya sudah siapkan kertas kerja untuk membina inap desa tetapi lokasi belum dipastikan sebab memerlukan kelulusan beberapa pihak termasuk komuniti Orang Asli,” katanya yang berasal dari suku kaum Temuan.

Muhammad Jamil yang turut mendapat Anugerah Pelatih Pembimbing Berwawasan pada majlis tersebut berharap INFRA atau agensi lain dapat menyediakan latihan kemahiran berkaitan pemandu pelancong alam semula jadi, contohnya aspek mendaki gunung atau berkayak.

Katanya ia bagi mempersiapkan mereka untuk mempelbagaikan kemahiran yang tertumpu dalam aktiviti mencabar yang kini mula diminati ramai.

– BERNAMA


Pengarang :