Bangunan Parlimen Malaysia kelihatan tersergam indah bagi persediaan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 ketika tinjauan pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dewan Negara bahas usul isu kewarganegaraan kanak-kanak lahir di luar negara petang ini

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Dewan Negara akan membahaskan usul berkaitan kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia pada persidangan petang ini selepas mendapat persetujuan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Mohamad Ali berkata usul yang dibawa Senator Datuk Seri Zurainah Musa itu akan dibahaskan mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (3) dan ia memenuhi tiga syarat iaitu bersifat tertentu, berkepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.

“Saya membenarkan pihak pencadang untuk berbahas selama 30 minit dan selepas itu pihak kerajaan akan menjawab selama 30 minit, tertakluk kepada permohonan dan penyataan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat bolehlah menyertai perbahasan itu mengikut kadar yang diberikan petang ini,” katanya selepas sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Terdahulu, Zurainah ketika membawa usul itu berkata usulnya dibawa ekoran keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos lepas yang telah memutuskan isu anak-anak wanita Malaysia yang lahir di luar negara tidak diberikan kewarganegaraan Malaysia secara automatik, berbeza dengan lelaki.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Rayuan telah meletakkan tanggungjawab kepada Parlimen untuk meminda Perlembagaan demi keadilan keluarga yang terjejas, namun Parlimen bergantung kepada kementerian untuk membawa pindaan tersebut.

Zurainah berkata usul itu bukan untuk menyoal keputusan mahkamah tetapi bagi mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai komitmen dalam membawa pindaan Perlembagaan kepada Parlimen.

“Kelewatan untuk membawa pindaan ini menjejaskan reputasi Parlimen kerana ia seolah-olah Parlimen tidak berfungsi. Setakat ini, tiada maklumat daripada kementerian mengenai garis masa mahupun komitmen untuk membawa pindaan ini ke Parlimen,” katanya.

Pada 5 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

– BERNAMA


Pengarang :