Ahli Dewan Negeri bertafakur dan memberi penghormatan kepada bekas Menteri Besar Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, SUK Shah Alam pada 1 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dewan Negeri ditangguh, beri penghormatan pengebumian Abdul Khalid

SHAH ALAM, 1 OGOS: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini bertafakur selama seminit bagi menghormati pemergian Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meninggal dunia malam tadi.

Dato’ Menteri Besar mewakili semua wakil rakyat turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mengusulkan sidang dewan ditangguh sehingga 2.30 petang.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, ia bagi memberi ruang untuk menziarahi Allahyarham di Masjid Negeri Shah Alam dan menghadiri pengebumian di Makam Di Raja Shah Alam.

“(Penangguhan) sebagai menghargai jasa beliau dalam DNS dan seluruh negeri ini serta menjadi menteri besar dengan menyelaraskan beberapa program yang memberi impak kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut mengimbas sumbangan Allahyarham yang menyusun semula program merakyatkan ekonomi antaranya pembangunan sisir Sungai Klang dan pengukuhan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan).

Allahyarham Abdul Khalid meninggal dunia jam 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur akibat jangkitan pada injap jantung.

Atas titah dan limpah kurnia Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, jenazah akan disemadikan di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5 di sini.

Allahyarham yang merupakan anak jati Jeram, Kuala Selangor meninggalkan seorang isteri Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak serta dua cucu.


Pengarang :