Pemilik, Butik Pengantin D’Lavender, Mohd Fadlie Mat Said ketika di wawancara Media Selangor di Medan Niaga, Kuala Selangor pada 1 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Diheret ke tribunal, perunding perkahwinan bangkit semula selepas PKP

SHAH ALAM, 23 OGOS: Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 bagaikan satu tamparan. Banyak aktiviti sosial dilarang termasuk majlis perkahwinan.

Natijahnya, pengusaha perunding perkahwinan Mohd Fadlie Mat Said, 38, berdepan detik sukar apabila tujuh pelanggan membatal tempahan dan selebihnya menunda ke tarikh selepas PKP berakhir.

Beberapa hari sebelum PKP, 16 tempahan majlis perkahwinan bernilai hampir RM300,000 dalam genggaman. Ada juga pelanggan membayar pendahuluan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM70,000.

Susulan itu, pengarah D’Lavender Holdings Sdn Bhd diheret enam pelanggan ke Tribunal Tuntutan Pengguna bagi menuntut semula pendahuluan sedangkan wang itu sudah digunakan untuk membayar pembekal.

Namun, lulusan kejuruteraan mekanikal Universiti Selangor (Unisel) itu lega apabila menang tiga kes selepas mengemukakan semua bukti perbelanjaan. Tiga lagi kes masih dalam perbicaraan.

“Masa bicara, saya tunjukkan semua bukti, bayaran yuran, perbelanjaan, kos berapa kali mesyuarat koordinasi, beli prop dan akhirnya menang tetapi walaupun menang, atas perasaan belas ihsan saya beri sedikit bayaran balik kepada pelanggan yang heret saya ke tribunal,” katanya ketika ditemui Selangorkini pada 1 Julai lalu.

Pemilik, Butik Pengantin D’Lavender, Mohd Fadlie Mat Said ketika di wawancara Media Selangor di Medan Niaga, Kuala Selangor pada 1 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain berhadapan dengan tribunal pengguna, beliau juga terpaksa menutup tiga daripada tujuh kedai ekoran perniagaan tidak boleh beroperasi. Demi kelangsungan perniagaan dan kebajikan pekerja, Mohd Fadlie berniaga makanan dalam talian.

“Waktu pandemik sangat mencabar. Saya gunakan kemahiran lain yang ada sebab sebelum jadi perancang majlis perkahwinan, lama bekerja dalam bidang makanan dan minuman, boleh memasak dan ada kepakaran. Saya berniaga jual makanan dan sebulan boleh dapat RM14,000. Dapatlah bayar gaji pekerja,” katanya.

Mula buat pelamin

Kerjaya Mohd Fadlie sebagai perunding perkahwinan bermula dengan D’Lavender Deco, sebuah kedai barangan dekorasi seperti bunga dan pelbagai hiasan rumah pada 2011.

Lantaran banyak menjual dekorasi seperti bunga, pelanggannya sering bertanya mengenai barang perkahwinan pengantin sekali gus memberi ilham kepadanya untuk meluaskan cabang perniagaan sebagai perunding perkahwinan pada 2014.

“Dengan anugerah bakat dalam menghias, pada 2014 saya cuba buat perkhidmatan buat pelamin kecil-kecilan. Mula-mula tak ada baju sebab tak berani tetapi bila kita buat pelamin, pelanggan mula tanya pasal pakej.

“Bila selalu pelanggan minta pakej, saya mula buka pakej dan masa itu saya mula main besar, pelamin, baju, solekan dan katering. Katering saya ambil kontrak luar tetapi ikut cita rasa saya,” katanya.

Selain menyediakan pelamin, dekorasi dan kordinator majlis perkahwinan, Mohd Fadlie juga mengambil tempahan menghias kereta pengantin khususnya untuk pelanggan Cina dan India. Beliau kerap mendapat kepercayaan mengendalikan perkahwinan kaum India termasuk di hotel lima bintang.

Jaga hubungan

Hasil usaha gigihnya, beliau membeli kedai dan menyewa enam premis untuk operasi perniagaan dan stor barang di pasaraya Tesco dan pusat beli-belah Setia City di Shah Alam.

Saban tahun, tempahan semakin banyak. Ketika semuanya tampak lancar, tiba-tiba Covid-19 menyerang sehingga memaksa kerajaan melaksanakan PKP.

“Saya ingat lagi, PKP mula hari Rabu tetapi saya ada majlis kahwin pada Sabtu dan Ahad. Sudah bersusun empat majlis. Bila dengar ura-ura nak PKP, ada pelanggan telefon nak terus percepatkan hari Selasa. Ada juga batalkan. Kelam kabut,” katanya.

Pemilik, Butik Pengantin D’Lavender, Mohd Fadlie Mat Said ketika di wawancara Media Selangor di Medan Niaga, Kuala Selangor pada 1 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mujur, amalan menjaga hubungan baik dan bersikap terbuka dalam perbincangan membolehkan beliau menyakinkan banyak pelanggan untuk meminda tarikh majlis.

Malah, ada pelanggan yang memberi pakej tempahan kepada pihak ketiga seperti rakan dan saudara mara yang mahu melangsungkan perkahwinan.

Bayaran pihak ketiga itu kemudiannya dibayar kepada pelanggan yang membatalkan majlis perkahwinan mereka.

Selepas hampir dua tahun bergelut sepanjang PKP, Mohd Fadlie kembali membuka perniagaan perkhidmatan perunding perkahwinan.

Selain berbekalkan sedikit simpanan, beliau turut mendapat pinjaman Hijrah Selangor sebanyak RM20,000 dan RM50,000 bagi pinjaman kedua bagi mengukuhkan lagi modal pusingan.

Perniagaannya kembali meningkat. Sasaran jualan bagi 2022 ditetapkan sebanyak RM550,000 dan berjaya memperolehi RM380,000 bagi setengah tahun pertama.

“Bagi 2022 saya tak letak sasaran tinggi, hanya RM550,000 sahaja. Setakat ini kita dah cecah RM380,000 bagi enam bulan pertama. Bermakna kita berada dalam landasan betul untuk capai sasaran,” katanya.


Pengarang :