Pengarah Operasi Kanan Hilton Asia Tenggara Jamie Mead berucap ketika Majlis Pelancaran DoubleTree by Hilton Shah Alam di Finance Avenue i- City, Shah Alam pada 11 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

DoubleTree by Hilton terus berkembang di Malaysia lepas sedekad

SHAH ALAM, 11 OGOS: Jenama DoubleTree by Hilton terus berkembang di negara ini sejak diperkenal lebih sedekad lalu, kata pengarah kanan operasi Hilton Asia Tenggara.

Jamie Mead menjelaskan enam hotel bawah jenama itu berjaya dibangunkan setakat ini, di sebalik ketidaktentuan ekonomi dunia sepanjang tempoh berkenaan.

Hotel tersebut, katanya, masing-masing terletak di Kuala Lumpur, Putrajaya Lakeside, Johor Bahru, Melaka, Pulau Pinang dan terbaharu i-City, Shah Alam.

“Hilton berada di Malaysia sejak 1973 dan jenama DoubleTree by Hilton diperkenalkan pada 2010. Saya bangga kerana 13 projek hartanah Hilton sudah beroperasi.

“Walaupun dunia sedang bergolak tetapi kami sebagai jenama terus berkembang dan berkhidmat kepada jutaan orang seluruh dunia tanpa mengira siapa mereka serta dari mana mereka datang,” katanya.

Beliau bercakap dalam sembah ucapan sempena pembukaan DoubleTree by Hilton Shah Alam yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini.

Dalam pada itu, Jamie berkata pembangunan setiap hotel terbabit mengutamakan keseimbangan alam sekitar selaras matlamat mengurangkan 50 peratus pelepasan karbon.

“Kami mahu memberi persekitaran terbaik kepada tetamu. Oleh itu, misi perkhidmatan kami juga adalah untuk memelihara bumi,” katanya lagi.


Pengarang :