AGENDANASIONAL

Dua beradik maut dicampak bapa dari Lebuhraya MRR2

SHAH ALAM, 2 OGOS: Dua beradik warga Myanmar maut selepas dicampak bapa mereka pada ketinggian 20 meter dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Kepong awal pagi tadi.

Kejadian sekitar 5.50 pagi turut menyebabkan seorang lagi beradik cedera parah dan disedari orang awam selepas melihat lelaki berusia 38 tahun dalam keadaan mencurigakan, lapor Berita Harian.

Ketua polis Sentul yang mengesahkan kejadian itu berkata suspek turut maut selepas dipercayai terjun dari lokasi sama ketika cuba dihampiri orang awam yang menyaksikan insiden tersebut.

“Ketika cuba dihampiri orang awam, lelaki terbabit terus mencampak ketiga-tiga kanak-kanak yang dibawa bersamanya itu dari Lebuhraya MRR2 yang dianggarkan mempunyai ketinggian kira-kira 20 meter.

“Sejurus itu, lelaki terbabit terus terjun dari lebuh raya sama dengan semua empat mangsa ditemui di tepi jalan raya berhampiran lampu isyarat di Desa Jaya,” kata Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Menurutnya, dua mangsa yang maut membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia antara enam hingga tujuh tahun.

Manakala seorang lagi yang terselamat dianggarkan berusia lima tahun, cedera dalaman pada perut dan retak rusuk kiri serta dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan.

“Semua mangsa dipercayai warga Myanmar kerana pemeriksaan di lokasi menemui dua kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik lelaki dewasa itu dan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan

 


Pengarang :