TSS FC menjuarai piala Dana Cup Hjorring di Denmark pada 30 Julai 2022. Pasukan yang berpusat di Shah Alam itu menewaskan pasukan dari Jerman, Eintracht Norderstedt dengan jaringan 2-1. Foto Facebook TSS Selangor-Malaysia
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Dua murid sekolah Jais juarai piala bola sepak di Denmark

SHAH ALAM, 1 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berbangga dengan pencapaian dua murid Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19, Shah Alam yang membantu kelab Bola Sepak TSS FC memenangi kejuaraan peringkat antarabangsa.

Agensi itu memaklumkan Adam Nurfakrullah Mohd Fadli, 12, dan Muhammad Fareez Daniel Noorizwani Hafiz, 12, antara tunggak utama pasukan berkenaan yang menjuarai piala Dana Cup Hjorring di Denmark pada minggu lalu.

“Mereka yang meminati sukan bola sepak sejak kecil telah menyertai beberapa kelab bola sepak sebelum menyertai pasukan TSS FC sejak berumur 9 tahun.

“Mereka juga telah mengumpul pelbagai kejuaraan di peringkat daerah, negeri dan juga kebangsaan mewakili SRAI Seksyen 19 mahupun kelab TSS FC,” maklum Jais di Facebook pada 29 Julai.

“Mereka juga cemerlang dalam sukan yang lain seperti takraw dan olahraga.”

Dalam perlawanan akhir berkenaan, TSS FC menewaskan pasukan dari Jerman, Eintracht Norderstedt dengan jaringan 2-1.

Lebih membanggakan, murid sekolah kendalian Jais, Muhammad Fareez dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam kejohanan tersebut.

Muhammad Fareez dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam kategori B12 kejohanan piala Dana Cup Hjorring di Denmark pada 30 Julai 2022. Foto Facebook TSS Selangor-Malaysia

 

.

 


Pengarang :