Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin menyerahkan sumbangan tunai kepada Sekolah Kebangsaan Bandar Banting pada 16 Ogos 2022. Foto Facebook Hasnul Baharuddin
ADNSELANGOR

DUN Morib peruntuk RM80,000, bantu sekolah memerlukan

SHAH ALAM, 17 OGOS: Kira-kira RM80,000 diperuntuk Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib untuk diagih kepada 22 sekolah memerlukan sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

Wakil rakyat Hasnul Baharuddin berkata sekolah itu terdiri daripada sekolah kebangsaan, sekolah rendah agama dan sekolah swasta sekitar Morib.

Menurutnya, setiap sekolah menerima sumbangan berbeza bermula daripada RM2,000 sehingga RM10,000 bergantung kepada permohonan dan kelayakan.

“Pemberian wang tunai ini bertujuan meringankan beban pihak pengurusan untuk membaik pulih, menganjurkan program atau melaksanakan mesyuarat persatuan ibu bapa dan guru.

“Kita harap sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban pihak sekolah di samping memberi keselesaan kepada pelajar untuk menuntut ilmu,” katanya kepada SelangorKini.

Hasnul berkata mana-mana sekolah yang memerlukan bantuan tunai itu boleh hubungi talian 03-3180 2191 atau hadir ke pusat khidmat masyarakat DUN Morib.


Pengarang :