Pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas selesai membuat laporan pada 21 Julai 2021. Foto Facebook Bernama
AGENDAJENAYAH

Ebit Lew dibicara atas 11 pertuduhan seksual bulan depan

SHAH ALAM, 26 OGOS: Pendakwah terkenal Ebit Lew, 37, akan dibicarakan di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah atas 11 tuduhan gangguan seksual, bulan depan.

Perbicaraan kes Ebit, atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew akan bermula 27 hingga 30 September depan.

Ia disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, lapor portal The Merdeka Times hari ini.

Pada 18 Februari lalu, Ebit didakwa atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual di Mahkamah Litar Pejabat Daerah Tenom, Sabah.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Sabah, Muhammad Ilmami Ahmad manakala Ebit diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Terdahulu, Abdul Jalil berkata Ebit berdepan pertuduhan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.

“Semua pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, Sabah antara Mac hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan Melayu,” katanya.


Pengarang :