Hari Kesihatan Mental Sedunia adalah insiatif Kesatuan Kesihatan Mental Sedunia (WFMH) yang disambut setiap tahun pada 10 Oktober. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Elak derita dalam senyap, segera rujuk pakar jika tertekan

SHAH ALAM, 4 OGOS: Individu yang mengalami tekanan mental diminta segera mendapatkan nasihat psikiatri dan kaunselor sebagai pencegahan awal bagi mengelak kesan lebih buruk.

EXCO kesihatan awam berkata Selangor memandang serius isu tersebut dan memperkenal inisiatif Selangor Mental Sihat (SEHAT) bagi membantu mereka yang memerlukan sokongan.

Menurut Dr Siti Mariah Mahmud, program yang memasuki tahun keempat ditawarkan secara percuma buat rakyat Selangor yang berdepan masalah itu untuk mendapat pandangan pakar.

“Sebab itu saya menyeru kepada individu atau sesiapa yang mempunyai ahli keluarga atau pasangan yang mungkin mengalami masalah gangguan mental seperti tekanan, kemurungan, atau kegelisahan segera hubungi talian SEHAT,” katanya di Facebook.

Beliau menjelaskan kenaikan ketara kes gangguan kesihatan mental banyak dicatatkan pascapandemik akibat tekanan ekonomi, hilang pekerjaan, masalah keluarga dan lain-lain.

Beliau turut berkongsi keratan akhbar yang melaporkan insiden meruntun jiwa bapa mencampak tiga anak dan membunuh diri di Kepong selain kisah jururawat membunuh bayinya berusia lapan bulan.

“Dua insiden ini malah banyak lagi yang dilaporkan sebelum ini menuntut kita sebagai masyarakat mengambil peduli keadaan mereka di sekitar kita khususnya pasangan, ahli keluaraga, saudara mara malah jiran tetangga,” kata Dr Siti Mariah.

Orang ramai yang memerlukan bantuan kaunseling boleh menghubungi talian 1700-82-7536 atau 1700-82-7537 dari Isnin hingga Jumaat mulai 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Mereka juga boleh merujuk aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) untuk mendapatkan bantuan daripada 30 pakar kaunselor.


Pengarang :