Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDAJENAYAH

Empat individu bergelar Datuk ditahan bantu siasatan kes tipu pindah milik tanah

JOHOR BAHRU, 25 OGOS: Empat individu bergelar Datuk antara lapan lelaki ditahan semalam bagi membantu siasatan kes penipuan pindah milik tanah milik sebuah agensi badan berkanun seluas 1,699.68 hektar bernilai lebih RM100 juta di Kluang, 28 tahun lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata seorang daripada mereka ditahan di Johor manakala tujuh lagi ditahan di Kuala Lumpur dan Selangor semasa mereka hadir memberi keterangan antara 3 petang hingga 8 malam.

“Kesemua yang berusia antara 46 hingga 75 tahun berperanan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Koperasi dan pegawai pejabat tanah yang bertanggungjawab ketika itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, pihaknya menerima laporan daripada seorang penolong pegawai tanah di agensi badan berkanun berkenaan pada Januari lepas yang mengesan pindah milik tanah itu pada pertengahan tahun lepas.

Beliau berkata pengadu mendakwa tiga lot tanah milik agensi itu telah dipindah milik kepada sebuah syarikat persendirian tanpa pengetahuan dan kebenaran agensi itu.

Kamarul Zaman berkata tiga lot tanah terbabit sebelum itu dianugerahkan kerajaan negeri kepada agensi berkenaan pada 1987 dengan nilai RM1.47 juta.

“Siasatan mendapati sebelum tanah terlibat dipindah milik ke syarikat berkenaan, tanah tersebut telah dipajak kepada sebuah koperasi pada 1994. Urusan pindah milik tersebut hanya dikesan berlaku pada pertengahan tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata setakat ini seramai 28 saksi terdiri daripada pengarah syarikat, setiausaha syarikat, peguam, pelikuidasi, pegawai pejabat tanah dan galian negeri dan pegawai agensi badan berkanun berkenaan telah dipanggil memberi keterangan kepada pasukan siasatan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kesemua mereka diberi jaminan polis selama sebulan sementara kertas siasatan disiapkan serta dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

– BERNAMA


Pengarang :