Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli (dua, kiri) dan Pengerusi Yayasan MRCB Datin Jasmine Abdullah Heng (tiga, kiri) bercakap bersama penerima selepas menyampaikan sijil perakuan gerai burger dan merasmikan Majlis Pelancaran Burgernita anjuran Yayasan MRCB di Seri Kembangan, Subang Jaya pada 9 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Empat tahun buntu cari wang, ‘Burgernita’ bantu ibu tunggal jana pendapatan semula

SERDANG, 10 OGOS: Kebuntuan seorang ibu tunggal mencari pendapatan untuk menyara keluarga menemui titik noktah apabila ditawarkan gerai yang dilengkapi perkakas bagi memulakan perniagaan burger kira-kira empat bulan lalu.

Biarpun tiada pengalaman dalam bidang perniagaan, namun bantuan disalur Yayasan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) cukup melegakan Norizan Yahaya selepas empat tahun hilang sumber pendapatan akibat serangan strok serta pandemik Covid-19.

Segala-segalanya bermula ketika wanita berusia 60 tahun itu diperkenalkan oleh seorang rakan kepada pihak terbabit yang mencari individu berstatus ibu tunggal dan kurang berkemampuan untuk mendapat bantuan termasuk latihan perniagaan.

Penerima Gerai Burgernita Norizan Yahya bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Burgernita anjuran Yayasan MRCB di Seri Kembangan, Subang Jaya pada 9 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Waktu itu kami terlibat dengan program mengaji al-Quran dan minta saya cari mana-mana ibu tunggal atau asnaf fakir untuk dapat bantuan ini. Kebetulan saya sendiri tiada kerja sebab baru pulih daripada strok yang menyerang separuh badan pada akhir 2018.

“Jadi saya segera mohon kepada pihak berkenaan melalui dia (kawan). Alhamdulillah, permohonan diluluskan dan mengusahakan gerai burger di Eco Majestic, Semenyih sejak awal Ramadan tahun ini,” katanya ditemui selepas menerima sijil bantuan di sini semalam.

Sijil disampaikan Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli sambil disaksikan Pengerusi MRCB Datin Jasmine Abdullah Heng serta Presiden Gabungan Pertubuhan Wanita Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCWO) Anita Aqeela Hiong.

Bercerita lanjut, Norizan yang sebelum ini berkhidmat sebagai guru di sebuah pusat pemulihan anak istimewa mengakui perniagaannya tidak mendapat sambutan pada bulan pertama memandangkan masih baharu selain pelanggan kurang yakin kelazatan makanan segera air tangannya.

Bagaimanapun, kekangan itu tidak melunturkan semangat Norizan untuk meneruskan perniagaan seperti biasa sambil dibantu puteri sulung berusia 18 tahun yang juga orang kelainan upaya (OKU).

“Memang susah nak tarik pelanggan masa awal-awal dulu, tetapi sekarang ramai orang sudah tahu ‘Burgernita’. Menu burger yang dijual sama seperti gerai jalanan lain cuma istimewanya kita ada burger sarang burung.

“Saya juga guna sos terbaik yang ditaja sebuah syarikat rangkaian sos dan kicap bagi menampilkan kelainan rasa termasuk bahan seperti nanas, bawang, tomato serta salad. Alhamdulillah, rata-rata pelanggan beri maklum balas positif setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menghargai sokongan pihak terbabit yang memberi ruang kepadanya untuk meningkatkan taraf ekonomi selain berharap perniagaan ‘Burgernita’ berkembang lebih maju.

“Sejujurnya tiada istilah menang-menang antara saya dengan pihak berkenaan. Keuntungan diperoleh memang 100 peratus untuk saya, mereka beri bantuan dan selebihnya bergantung kepada kita bagaimana mahu gerakkan perniagaan itu,” katanya.


Pengarang :