EXCO Perumahan Rodziah Ismail (tengah) beramah mesra bersama pembeli Rumah Selangorku dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku Seri Kenari Saujana Perdana di Sungai Buloh, Kuala Selangor pada 23 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Empat tahun menanti, suami isteri akhirnya miliki rumah sendiri

SUNGAI BULOH, 24 OGOS: Penantian empat tahun sepasang suami isteri untuk memiliki kediaman sendiri berakhir selepas menerima kunci Rumah SelangorKu Seri Kenari, Saujana Perdana di sini semalam.

Nur Hamra Abu Nasir, 35, berkata selepas mendirikan rumah tangga, beliau dan suami berusaha membeli rumah untuk keselesaan keluarga namun gagal dan terpaksa tinggal di kuarters kerajaan.

Nur Hamra Abu Nasir. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kami suami isteri terpilih untuk membeli Rumah Selangorku pada 2018, namun kerana pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan, projek ini tertangguh.

“Rumah kami sepatutnya siap tahun lalu, namun tergendala. Namun kami bersyukur kerana ia akhirnya siap seperti digambarkan,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Terdahulu beliau bersama lima pembeli lain menerima replika kunci yang disampaikan oleh EXCO Perumahan Rodziah Ismail dan Pengarah Urusan Kumpulan Glomac Berhad Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor.

Noor Atika Noor Azlan. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, kakitangan swasta Noor Atikah Azlan, 31, berkata tidak menyangka dapat memiliki rumah tiga bilik pada harga lebih rendah daripada pasaran.

“Sebelum ini kami terpaksa menyewa kerana harga rumah yang mahal. Tetapi sekarang rumah ini akan menjadi syurga baru untuk kami sekeluarga,” katanya.

Rumah SelangorKu Seri Kenari di Saujana Perdana menawarkan 180 unit kediaman jenis rumah bandar (townhouse) berkeluasan 1,000 kaki persegi pada harga RM180,000 seunit.

Kediaman yang mempunyai tiga bilik, satu tandas dan satu ruang parkir itu dibangunkan pemaju Glomac Berhad.


Pengarang :