EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim menjawab soalan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: 72 projek perkilangan dilulus takat Mac, nilai pelaburan RM3.27 bilion

SHAH ALAM, 1 OGOS: Sebanyak 72 projek perkilangan diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Selangor dengan nilai pelaburan mencecah RM3.27 bilion setakat Mac tahun ini.

EXCO pelaburan berkata Invest Selangor selaku agensi penggalakan pelaburan sentiasa melaksanakan pelbagai program bagi memastikan negeri ini kekal relevan dan sentiasa diyakini pelabur.

“Rancangan Selangor Pertama (RS-1) antara strategi pembangunan lima tahun secara menyeluruh selain penubuhan jawatankuasa petugas khas Segi Tiga Emas Selangor untuk merancakkan pembangunan ekonomi dan hartanah.

“Seterusnya, pelan tindakan bioteknologi Selangor digarap bagi memperkasakan industri yang berpotensi berkembang di negeri ini serta penubuhan majlis industri rel,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail berhubung anggaran pelaburan tahun ini dan perancangan untuk meningkatkan nilai pelaburan negeri.

Pada 14 Mac sempena istiadat pembukaan Dewan Negeri Selangor (DNS), Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor memuji inisiatif negeri memudah cara dan menggalakkan pelaburan baharu serta sedia ada.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah usaha itu menyumbang kepada pencapaian menggalakkan dengan nilai RM5.96 bilion melalui 182 projek perkilangan antara Januari hingga September 2021, jumlah tertinggi berbanding negeri lain.


Pengarang :