EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah ketika sidang media selepas merasmikan bengkel Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang (MPK), Klang pada 17 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Gedung Raja Abdullah dibuka kepada pengunjung Disember ini

KLANG, 17 OGOS: Gedung Raja Abdullah di sini yang dijadikan bangunan warisan bersejarah bakal dibuka kepada pengunjung menjelang Disember ini, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah berkata berdasarkan sejarah, gedung berkenaan merupakan bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri pertama yang menjalankan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Bangunan ini dijadikan bangunan warisan supaya dapat mengisi pembentukan sejarah kepada anak-anak tempatan dan pelancong mengetahui sejarah Selangor khususnya bandar Klang,” katanya hari ini.

“Buat masa ini, bangunan ini dalam peringkat akhir proses baik pulih kemudahan supaya dapat memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Konsep bangunan ini tidak diubah supaya identitinya dapat dikekalkan dan tidak dipasang pendingin hawa sebaliknya hanya memakai angin semula jadi. Kita jangka paling cepat Disember atau selewat-lewatnya awal tahun depan.”

Terdahulu beliau merasmikan Bengkel Jejak Warisan Bandaraya Klang di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang (MPK), di sini hari ini. Bengkel siri kedua itu turut dihadiri Timbalan Yang Dipertuanya Elya Marini Darmin.

Mengulas lanjut mengenai bengkel itu, Borhan menyifatkan penganjurannya sebagai inisiatif terbaik bagi menjejak warisan Selangor yang banyak di Klang.

“Ini adalah kesungguhan MPK dalam memastikan warisan bandaraya Diraja Klang dapat dilaksana secepat mungkin dengan kerjasama semua jabatan,” katanya.

Sebelum ini, Borhan memaklumkan empat lokasi di negeri ini yang menyimpan variasi khazanah sejarah dibuka kepada pengunjung iaitu di Muzium Permainan Tradisi (Kuala Selangor), Gedung Raja Abdullah (Klang), Istana Bandar (Kuala Langat) dan Muzium Sultan Alam Shah (Shah Alam).

Gedung Raja Abdullah kini dalam proses akhir baik pulih sebelum dibuka kepada pengunjung pada Disember ini. Konsep bangunan yang dibina pada 1856 tidak diubah supaya identitinya dapat dikekalkan. Foto Facebook Tourism Selangor

Pengarang :