EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah (kanan) menyertai gotong royong bersama penduduk. Foto Facebook Borhan Aman Shah
AGENDANASIONAL

EXCO: Jelajah Kita Rewang Sekampung ke Hulu Langat 26 Ogos

SHAH ALAM, 18 OGOS: Jelajah Kita Rewang Sekampung akan ke daerah Hulu Langat pada 26 dan 27 Ogos ini, kata EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi.

Borhan Aman Shah berkata program kali ini berkonsepkan majlis perkahwinan mengikut istiadat masyarakat Minang termasuk acara menyembelih kerbau.

“Kita bawa program rewang kembali kerana semakin ia pupus dengan kemodenan dan kemesraan dalam masyarakat juga semakin kurang.

“Majlis diadakan juga mengikut kesesuaian setiap daerah seperti di Sabak Bernam kita raikan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia 2021 yang kesemuanya mendapat sijil.

“Program rewang mendapat sambutan selain pujian Dato’ Menteri Besar, beliau menyatakan konsep yang dibawa ini memberi manfaat kepada masyarakat dan tidak melibatkan jabatan kerajaan,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah Borhan, selepas Hulu Langat, Program Kita Rewang Sekampung akan menjelajah ke daerah Gombak bagi meraikan kemerdekaan.

“Program yang menjelajah sembilan daerah ini berakhir di Kuala Langat dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang September nanti,” katanya.

Sebelum ini, Sabak Bernam menjadi daerah pertama penganjuran program Kita Rewang Sekampung dengan mengadakan majlis kesyukuran bagi meraikan kejayaan 230 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2021 yang mencatatkan keputusan 7A dan ke atas.

Program dua hari bermula 22 Julai itu mendapat sambutan penduduk sekitar
bagi menjayakan pelbagai program termasuk menyediakan juadah, aktiviti sukan rakyat dan kebudayaan tradisional.


Pengarang :