EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman menjawab soalan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Kadar pengangguran terkawal, laksana pelbagai usaha bantu pencari kerja

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kerajaan Negeri komited menangani kadar pengangguran dengan mengambil beberapa langkah antaranya menganjurkan Selangor Job Fair.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata kadar pengangguran untuk suku pertama tahun ini adalah 3.2 peratus berbanding 2.9 peratus tahun lalu, namun masih terkawal.

“Kadar pengangguran Selangor 3.2 peratus dan masih di bawah empat peratus, lebih bagus daripada kadar pengangguran Malaysia iaitu 5.2 peratus.

“Keadaan masih terkawal, ini tidak boleh dijadikan asas mengatakan Selangor tidak dapat mengawal pengangguran,” katanya dalam sesi penggulungan usul Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau berkata pihaknya berusaha dari semasa ke semasa untuk memastikan tawaran kerja mampu memenuhi permintaan pencari kerja sekali gus mengurangkan pengangguran.

“Orang nak minta kerja ramai dan begitu juga beri kerja. Kita ada Job Fair yang mana beri pekerjaan kepada mereka yang belum bekerja. Setelah bekerja, YB V Ganabatirau (EXCO pemberdayaan pekerja) ambil alih untuk memberdayakan,” katanya.

Selangor Mega Job Fair 2022 yang berlangsung pada 11 dan 12 Jun membantu seramai 1,996 individu mendapat pekerjaan, manakala 3,601 individu dipanggil temu duga kali kedua oleh majikan setakat 6 Julai.

Antara syarikat turut serta adalah Kumpulan Perangsang Selangor, Daikin Malaysia Sdn Bhd, DHL Express, DRB Hicom Berhad, Giant Malaysia dan Malayan Banking Berhad.

Tidak ketinggalan Media Prima Digital, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), Prasarana Malaysia Berhad, Shopee Malaysia, Sport Direct MST Sdn Bhd dan Toyota Auto Body Malaysia Sdn Bhd.

Selangor Mega Job Fair kali kedua untuk tahun ini dijadual berlangsung pada September di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

 


Pengarang :