EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas majlis Pelancaran Buku-Buku Terbitan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 8 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Kapal korek jalani proses baik pulih sebelum jadi muzium

SHAH ALAM, 8 OGOS: Kapal korek di Dengkil, Sepang dekat sini sedang dibaik pulih sebelum dijadikan sebagai muzium bersejarah, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah berkata terdapat beberapa bahagian pada kapal berkenaan telah bocor dan memerlukan kerja pembaikan.

“Ada masalah sikit di mana ia sudah berkarat dan bahagian tertentu sudah bocor. Saya dimaklumkan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bahawa usaha untuk apungkan ia perlu proses sedemikian.

“Selain itu pada masa sama kita telah minta pihak berkuasa tempatan itu membuat kajian bagi mendapatkan pengiktirafan UNESCO (Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya status dan perkembangan Muzium Kapal Korek ketika ditemui di Pustaka Raja Tun Uda di sini, hari ini.

Pada Jun lalu, Kerajaan Negeri berjaya memperoleh kapal korek antara terbesar di dunia dengan berat lebih 6,000 tan melalui MPSepang dengan kos lebih RM10 juta.

Kerajaan Selangor bercadang mahu menjadikan kapal korek di Dengkil sebagai muzium bersejarah sekali gus menjadikan ia sebagai tarikan baharu pelancongan kepada orang ramai.


Pengarang :