EXCO hal ehwal agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni meninjau program Selangor Saring di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Kerajaan Negeri teliti cadangan naik elaun guru Kafa

SHAH ALAM, 7 OGOS: Kerajaan Selangor sedang meneliti cadangan untuk meningkatkan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) susulan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

EXCO hal ehwal agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata cadangan kenaikan kadar elaun sebanyak RM100 sebulan itu akan dikemukakan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.

“Bagi meningkatkan kualiti dan taraf profesion guru terbabit, saya cadangkan kenaikan elaun supaya mereka dapat bertahan dalam keadaan ekonomi sekarang ini.

“Mungkin RM100 sebulan, namun ia akan diputuskan dalam MMKN,” katanya selepas meninjau program Selangor Saring di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Utama di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pihaknya akan menyemak penangguhan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru Kafa seperti diumum Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sebelum ini.

Katanya semakan akan dibuat bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berikutan pelaksanaannya di bawah agensi terbabit.

“Sebenarnya kita sedang meneliti implikasi kewangan yang perlu ditanggung kerajaan Selangor memandangkan terdapat kira-kira 7,000 guru Kafa.

“Sudah pasti akan ada (implikasi kewangan) kerana tempoh 98 hari ini agak panjang dan perlu guru ganti dan sebagainya,” katanya lagi.

Pada 5 Ogos lalu, menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) menafikan dakwaan kerajaan tidak mengambil berat kebajikan 35,000 guru Kafa di negara ini.

Datuk Idris Ahmad menjelaskan kerajaan sentiasa berusaha memastikan kebajikan kumpulan terbabit termasuk dalam hal berkaitan dengan status perjawatan.


Pengarang :