EXCO Pertanian Ir Izham Hashim melawat ke gerai pameran madu kelulut di Pavillion Selangor ketika Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS, Serdang pada 6 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Ladang ternak ayam daging di Ulu Bernam dijangka siap akhir tahun

SERDANG, 7 OGOS: Pembangunan projek ternakan ayam daging di Ulu Bernam, Hulu Selangor yang dimulakan sejak beberapa bulan lepas dijangka siap selewat-lewatnya akhir tahun ini, kata EXCO pertanian dan industri asas tani.

Ir Izham Hashim memaklumkan projek kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dirancang sejak tahun lalu bagi meningkatkan pengeluaran ayam daging sebanyak 300,000 ekor untuk setiap kitaran, menjadikan keseluruhan 800,000.

“Peruntukan melaksanakan projek ini sudah diluluskan dan sedang di peringkat pelaksanaan. Ia menelan kos yang tinggi memandangkan pembinaannya berkonsepkan moden, namun memberi banyak pulangan

“Pembinaan membabitkan 10 unit rumah ayam tertutup yang mampu memuatkan antara 250,000 hingga 300,000 ekor ayam,” katanya.

Terdahulu beliau menghadiri majlis pengenalan varieti baharu buah naga ‘Pink Ruby’ di Pavilion Selangor, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini, semalam.

Pada 25 Julai lalu, Ir Izham berkata Kerajaan Negeri bercadang membangunkan projek ternakan ayam daging di lokasi terbabit bagi menyelesaikan isu kekurangan ayam di negeri ini.

Menurutnya PKPS juga giat melaksanakan kerja pembersihan di tapak projek jagung bijirin di Gemas, Negeri Sembilan seluas 400 ekar dan Kuala Langat Selatan, Selangor seluas 300 ekar yang dijangka selesai bulan ini.


Pengarang :