EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud bercakap ketika sesi taklimat program Selangor Saring di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Majlis perpaduan dan integrasi negeri dijangka dibentang hujung Okt

SHAH ALAM, 16 OGOS: Majlis Perpaduan dan Integrasi Selangor (MPIS) dijangka dibentang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hujung Oktober depan.

EXCO Perpaduan Dr Siti Mariah Mahmud berkata beberapa langkah perlu diambil sebelum majlis yang bertindak sebagai badan penasihat dan pemikir berkaitan polisi perpaduan negeri dikemukakan.

“Memandangkan portfolio ini baru diwujudkan, maka menjadi keperluan untuk mempunyai hala tuju dan dasar tersendiri yang dapat memandu perancangan serta pelaksanaan insentif berkaitan perpaduan.

“Kita sudah mengadakan sesi libat urus bersama Ahli Dewan Negeri untuk mendapatkan input awal sebelum dasar ini dirangka dan menerima maklum balas yang konstruktif dalam pelbagai aspek,” katanya kepada Selangorkini.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara perkara yang menjadi tumpuan dalam kerangka dasar itu adalah pembinaan perpaduan melalui penambahbaikan sistem urus tadbir negeri yang adil.

“Selain itu, ia tidak meminggirkan mana-mana golongan selain meraikan kepelbagaian seterusnya membina watak bangsa sepunya Selangor demi kemajuan dan kemakmuran bersama.

Sebelum ini, Dr Siti Mariah berkata pihaknya bekerjasama dengan Institut Darul Ehsan (IDE), Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bagi merangka dasar tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pula memaklumkan MPIS adalah inisiatif Kerajaan Negeri mewujudkan perpaduan di negeri ini selain melihat contoh di tamadun-tamadun sebelum ini yang bukan sekadar atas nama toleransi tetapi kesefahaman.


Pengarang :