DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melihat peralatan seni Telepuk ketika melawat reruai pameran sempena majlis Pelancaran Buku-Buku Terbitan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 8 Ogos 2022. Hadir mengiringi Baginda, EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah (dua, kanan). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDAEXCONASIONALSELANGOR

EXCO: Padat, UiTM bakal jalin kerjasama martabat seni telepuk

SHAH ALAM, 8 OGOS: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mengangkat seni telepuk.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata ia sebagai usaha Kerajaan Negeri memelihara seni warisan berkenaan selepas mendapati wujudnya kilang pembuatan telepuk di Selangor.

“Kajian telah dibuat dan memang didapati wujudnya kilang pembuatan telepuk di Selangor, kita masih menyimpan sarang telepuk yang diperbuat daripada kayu.

“Kita mungkin hasilkan sebagai identiti Selangor dengan mengikut kaedah moden, kita tengah bincang dan akan tandatangani MoU dengan UiTM pada September ini,” katanya, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis Pelancaran Buku-buku Terbitan Padat yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor di Pustaka Raja Tun Uda di sini.

Beliau berkata kerjasama dengan universiti berkenaan seiring titah Tengku Permaisuri Norashikin yang mahu identiti Selangor diangkat dan dijadikan sebagai koleksi.

“Dulu telepuk menggunakan kaedah cop dan tidak tahan lama jadi kita sedang mencari mekanisme baru yang boleh tahan lebih lama,” katanya.


Pengarang :