Orang ramai menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Saringan kesihatan percuma bantu kesan risiko sakit jantung

SHAH ALAM, 12 OGOS: Orang ramai disaran menyertai program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri bagi mengesan risiko penyakit di peringkat awal.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata menerusi Selangor Saring orang ramai turut berpeluang mengesan tanda awal penyakit kardiovaskular yang menjadi punca utama kematian di negara ini.

“Setiap tahun kematian berlaku disebabkan penyakit kardiovaskular adalah seramai 17.9 juta.

“Untuk cegah daripada dijangkiti penyakit masalah jantung ataupun penyakit kardiovaskular ini, adalah dengan membuat saringan awal,” katanya di Facebook hari ini.

Program berkenaan dijadual berlangsung di tiga Dewan udangan Negeri (DUN) pada 13 dan 14 Ogos.

Lokasi meliputi Dewan Rozel MBSA, Seksyen U6 (DUN Kota Damansara) pada Sabtu manakala Dewan Rafflesia MBSA (DUN Kota Anggerik) dan Dewan Teratai Batu 17 Rawang (DUN Rawang) pada Ahad.

“Anda boleh hadir untuk membuat saringan dengan mendaftar di aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Sengan Selamat) terlebih dahulu,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan program itu yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :