EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud (dua, kanan) menyampaikan plak kepada wakil penaja yang bekerjasama dalam program pembangunan Anak Istimewa Selangor sempena MoU antara Yayasan Warisan Anak Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor di Hotel De Palma, Shah Alam pada 16 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Sedia pusat kemahiran daerah bantu OKU berdikari, jana pendapatan

SHAH ALAM, 16 OGOS: Kerajaan Selangor berhasrat mewujudkan pusat sokongan kehidupan berdikari (ILSC) di setiap daerah bagi memberi latihan dan kemahiran kepada orang kelainan upaya (OKU) berusia 18 tahun ke atas.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bagi mengenal pasti lokasi penubuhan pusat terbabit.

Menurut Dr Siti Mariah Mahmud, jabatan pendidikan juga dalam proses mencari pelajar lepasan sekolah menengah berkeperluan khas yang layak menerima tajaan yuran sepanjang mengikuti latihan dan kemahiran di pusat terbabit.

“Walaupun kita sudah memiliki 59 pusat pemulihan dalam komuniti (PPDK), tetapi ia ada peranan tersendiri. Jadi untuk ILSC kita mahu latih OKU lepasan sekolah menengah dengan kemahiran tertentu seperti buat kek dan menjahit.

“Inisiatif ini bukan sahaja melengkapkan ekosistem anak berkeperluan khas di negeri ini, malah memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk berdikari seterusnya menjana pendapatan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dan JKM Selangor di Hotel De Palma di sini, hari ini.

Sementara itu, Siti Mariah berkata pihaknya akan mengadakan lawatan ke Australia hujung minggu ini bagi melihat pengurusan pusat OKU yang mungkin boleh dicontohi Selangor.

“Kita pernah mengadakan lawatan ke United Kingdom dan mereka sangat hebat menangani hal berkaitan anak istimewa. Kita harap Selangor juga boleh mewujudkan pusat latihan anak OKU pasca sekolah menengah,” katanya.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk RM1 juta bagi penubuhan ILSC yang menyasar untuk melatih OKU 18 tahun ke atas serta mempunyai masalah pembelajaran supaya mereka dapat berdikari dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik.


Pengarang :