Petugas kesihatan mengambil sampel darah sempena program Selangor Saring di Dewan MPAJ Lembah Jaya, Ampang pada 11 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Sertai saringan percuma, kesan awal tanda barah payu dara

SHAH ALAM, 18 OGOS: Orang ramai disaran memanfaatkan program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri bagi mengesan risiko penyakit di peringkat awal.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata menerusi Selangor Saring orang ramai turut berpeluang mengesan tanda awal barah payu dara.

EXCO Kesihatan Awam, Dr Siti Mariah Mahmud memberi taklimat ketika program Selangor Saring di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Barah payu dara paling kerap berlaku di Malaysia. Pengesanan awal boleh mencegah risiko barah serius yang pastinya memerlukan lebih banyak kos rawatan untuk kemoterapi.

“Daftar sekarang untuk jalani saringan kesihatan. Ujian saringan ditawarkan berdasarkan penilaian faktor risiko individu melalui borang saringan awal di aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat),” tulisnya di Facebook hari ini.

Menurut infografik dikongsikan Dr Siti Mariah, barah payu dara menjadi barah nombor satu paling kerap berlaku merangkumi 31.1 peratus daripada keseluruhan barah yang dialami wanita di Malaysia.

Selain itu, sebanyak 43 peratus barah berkenaan dikesan lewat pada tahap tiga dan empat.

Berikut adalah lokasi program saringan kesihatan percuma di empat lokasi hujung minggu ini:

20 Ogos

  •  Dewan Serbaguna Taman Ehsan, (DUN Bukit Lanjan)
  •  Event Hall Atrial Mall, Petaling Jaya (DUN Bandar Utama)

21 Ogos

  • Dewan Kampung Permata, Kundang (DUN Kuang)
  • Dewan Heritier Hall, Seksyen 24 (DUN Batu Tiga)

Sebelum ini, Dr Siti Mariah memaklumkan seramai 75 daripada 2,078 individu yang menjalani ujian barah menerusi program Selangor Saring disyaki mempunyai gejala penyakit itu.

Beliau berkata semua sampel darah individu berkenaan sudah dihantar ke hospital untuk pengesahan sebelum tindakan lanjut diambil.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan program itu yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Selain mengesan barah payu dara, program hingga 4 September turut menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :