EXCO Pelancongan Hee Loy Sian (tengah) bergambar bersama penerima sijil penghargaan rakan strategik GHL Geopark ketika majlis perasmian Sesi Penilaian Kebangsaan Gombak-Hulu Langat Geopark 2022 di Grand Barakah Hotel, Ampang Jaya pada 16 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Status Geotaman Kebangsaan bakal jadi tarikan pelancong ke Gombak-Hulu Langat

AMPANG, 17 OGOS: Hala tuju status Gombak-Hulu Langat (GHL) ke arah Geotaman Kebangsaan adalah selaras dengan matlamat Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

EXCO alam sekitar dan teknologi hijau berkata mengikut RS-1, Kerajaan Negeri menyasarkan supaya Selangor menjadi sebuah negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur menjelang 2025.

“RS-1 merangkumi empat teras strategi iaitu pengukuhan ekonomi, mempertingkatkan inklusiviti sosial dan kesejahteraan rakyat, pemacuan kelestarian dan tadbir urus smart dan berkesan.

“Pelaksanaan projek Gombak-Hulu Langat Geotaman ini semestinya selari dengan keempat-empat teras strategi yang saya sebutkan tadi dan sememangnya memberikan impak terhadap pelaksanaan RS-1 secara keseluruhannya khsusnya dalam sektor pelancongan,” katanya.

Hee Loy Sian berkata demikian ketika merasmikan Sesi Penilaian Kebangsaan GHL Geotaman di Grand Barakah Hotel di sini, semalam.

Beliau berkata pelaksanaan Gombak-Hulu Langat Geotaman juga akan memberi limpahan positif kepada negeri ini dan ia nyata selari dengan RS-1.

“Pelan Induk Pelancongan Negeri Selangor 2021-2026 ini dijangka akan menggandakan jumlah kedatangan pelancong, meningkatkan pendapatan serta resit pelancongan, merancakkan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan baru dalam sektor pelancongan khususnya,” katanya.


Pengarang :