Air Terjun Sungai Gabai adalah salah satu geotapak bagi Geotaman Gombak-Hulu Langat yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Sungai Lalang dan mempunyai nilai warisan saintifik, rekreasi dan estetik. Foto Facebook Gombak-Hulu Langat Geopark
AGENDANASIONAL

EXCO: Status geotaman pertama Selangor diketahui awal 2023

SHAH ALAM, 22 OGOS: Proses menentukan sama ada Selangor layak mendapatkan status geotaman pertama di negeri ini dijangka selesai awal tahun depan, kata EXCO pelancongan dan alam sekitar.

Menurut Hee Loy Sian, keputusan ditentukan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Geopark Negara yang berlangsung Disember ini, selepas lawatan tapak selesai diadakan antara 15 hingga 18 Ogos lalu.

“Secara keseluruhannya saya yakin Selangor ada harapan cerah untuk dapatkan status Geotaman Gombak Hulu Langat (GHL) ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menambah lokasi seluas 112,955 hektar itu bakal menjadi geotaman ketujuh negara selain Jerai, Lembah Kinta dan Delta Sarawak jika Selangor layak mendapatkan status tersebut.

Pada November 2020, Badan Pengurusan GHL ditubuhkan bagi mengumpul maklumat, menyediakan data, mempromosi dan mengenal pasti agensi berkaitan untuk menjalinkan kerjasama.

Usaha negeri mendapatkan status itu bermula 2019 setelah Permatang Kuarza di Gombak belum matang untuk mendapat status Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

 


Pengarang :