EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (dua, kanan) bergambar bersama datuk bandar Kajang, Petaling Jaya, dan Subang Jaya pada Majlis Pelancaran Indeks Daya Huni (iDAM) di Putrajaya pada 17 Ogos 2022. Foto Facebook MPKj
AGENDANASIONAL

EXCO: Teladani kejayaan tiga PBT jaya bandar berdaya huni

SHAH ALAM, 22 OGOS: Kejayaan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor yang menduduki 10 tangga teratas bandar berdaya huni terbaik seluruh negara wajar diteladani kerajaan tempatan lain.

EXCO kerajaan tempatan berkata setiap PBT perlu memainkan peranan dalam menyediakan kawasan yang lebih berdaya huni memandangkan Selangor pesat membangun.

“Banyak penunjuk yang digariskan di dalam skop kajian Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM) yang bukan sahaja merangkumi keperluan fizikal dan ekonomi, tetapi keperluan emosi dan kebahagiaan rakyat juga perlu dipenuhi.

“Sebagai negeri yang pesat membangun dengan pertumbuhan populasi melebihi 10 peratus dalam tempoh kurang sepuluh tahun, Kerajaan Negeri perlu memastikan Selangor membangun bukan sahaja dengan pesat fizikalnya tetapi mampan dan kalis masa hadapan,” kata Ng Sze Han menerusi kenyataan.

Beliau turut mengingatkan semua PBT untuk sentiasa bersedia menghadapi cabaran penghijrahan rakyat ke Selangor yang semakin tinggi selain cabaran perubahan iklim.

“Oleh itu formula yang lebih seimbang mesti diwujudkan agar rakyat Selangor dapat hidup dalam keadaan berdaya huni. Diharapkan indeks iDAM ini dapat membantu proses tersebut,” katanya lagi.

Kenyataan itu merujuk kepada kejayaan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meraih Anugerah Bandar Berdaya Huni Tahap Tertinggi 2021 ketika majlis pelancaran iDAM pada 17 Ogos lalu.

Anugerah dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLAN Malaysia) disampaikan Menteri Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican.

Tujuh PBT lain yang menerima pengiktirafan serupa iaitu Perbadanan Putrajaya, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Daerah Kampar, Majlis Daerah Kerian dan Majlis Daerah Rembau.


Pengarang :