Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

EXCO: Tiada kesan cemar di Sungai Langat, loji kembali operasi 3.30 petang

SHAH ALAM, 11 OGOS: Tiada sisa bahan kimia dikesan di kawasan Sungai Langat susulan kemalangan sebuah lori kontena di Lebuhraya Karak-Bentong, Pahang menuju Kuala Lumpur kelmarin.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata perkembangan itu berdasarkan siasatan dijalankan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) sejak malam tadi.

Justeru, beliau memaklumkan loji rawatan air (LRA) Langat 2 yang dihenti tugas jam 4.30 pagi tadi kembali beroperasi pada 3.30 petang ini.

“Luas mengambil pendekatan proaktif bersiap siaga dan mempergiatkan operasi rondaan dan siasatan pemantauan di kawasan Sungai Langat secara menyeluruh.

“(Pemantauan) terutama di kawasan berisiko bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya sisa bahan pencemar tersebut masuk ke kawasan sungai di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata agensi terbabit meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa bersama pihak berkaitan bagi memastikan sumber air terpelihara.

“Walaupun insiden kemalangan ini berlaku di luar kawasan Selangor, ia berpotensi memberi kesan kepada Sungai Langat,” katanya.

Bantuan alternatif melalui lori tangki mula digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan untuk premis kritikal susulan henti tugas LRA Langat 2 pada 11 Ogos 2022. Foto Facebook Air Selangor

Semalam, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menghentikan sementara operasi muka sauk di Sungai Semantan, Temerloh, Pahang bagi mengelak kemungkinan sisa berkenaan memasuki sistem operasi LRA Langat 2.

Ia berikutan kemalangan sebuah lori yang berlaku sekitar 20 kilometer dari Sungai Semantan.


Pengarang :