Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berucap sempena Majlis Pembukaan Syarahan Darul Ehsan Mat Kilau: Mitoskah atau Realiti Sejarah anjuran Institut Darul Ehsan dan Unisel di Shah Alam pada 17 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Filem Mat Kilau cetus semangat berbeza sambut merdeka tahun ini

SHAH ALAM, 17 OGOS: Semangat untuk menyambut kemerdekaan tahun ini dirasakan sedikit berbeza kesan daripada filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mula ditayangkan 23 Jun lalu.

Presiden dan naib canselor Universiti Selangor (Unisel) Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata fenomena karya itu dapat dilihat apabila masyarakat mula bertanjak selain membanjiri kelas silat.

“Malah Netflix juga turut menawarkan untuk membeli filem ini dengan harga RM7 juta. Persoalannya, adakah filem ini benar-benar memaparkan realiti sebenar perjuangan Mat Kilau atau hanya bersifat fiksyen semata-mata untuk menarik minat penonton?” soalnya.

Beliau bercakap ketika merasmikan Syarahan Darul Ehsan Mat Kilau: Mitoskah atau Realiti Sejarah di
sini hari ini, yang dihadiri lebih 100 peminat sejarah pahlawan itu.

Dianjurkan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) dan Unisel, program itu menampilkan Ahli Majlis Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia Prof Emeritus Dato’ Dr Abdullah Zakaria Ghazali sebagai penceramah utama.

Dr Mohammad Redzuan Othman menambah program bersifat akademik itu membolehkan peserta mengetahui lebih lanjut mengenai Mat Kilau selain memberi dimensi dan pemahaman baharu.

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara yang diarahkan oleh Syamsul Yusof dianggap sebagai filem tempatan paling berjaya dengan kutipan hampir RM100 juta.


Pengarang :