Kerja penurapan jalan di Flat PKNS, Seksyen 16 Shah Alam pada 2 Okt 2020. Foto Facebook Najwan Halimi
ADNSELANGOR

Flat PKNS Seksyen 16 dicadang dibangun semula menerusi RS-1

SHAH ALAM, 2 OGOS: Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik mencadangkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) memasukkan pelan pembangunan semula Flat PKNS di Seksyen 16 di sini.

Mohd Najwan Halimi berkata ia berikutan flat tersebut yang dibina pada 1969 oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kini mengalami pelbagai masalah seperti sistem pendawaian, saliran dan kumbahan.

“Saya mencadangkan Kerajaan Negeri dapat membangunkan semula perumahan lama yang berusia lebih 40 tahun di negeri ini seperti kawasan Flat PKNS, Seksyen 16.

“Sekiranya isu dan masalah membabitkan kawasan perumahan berusia ini tidak ditangani dengan baik, saya khuatir dalam tempoh 10 ke 15 tahun dari sekarang ia menjadi kawasan tidak lagi berdaya huni,” katanya pada perbahasan RS-1 dalam sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini.

Bagaimanapun, Mohd Najwan memuji pelaksanaan RS-1 yang disifatkan wajar dijadikan contoh kepada semua negeri termasuk kerajaan persekutuan dalam merencana pelan pembangunan.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar membentangkan RS-1 yang menjadi kerangka pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun melibatkan nilai keseluruhan RM212.44 bilion.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM92.44 bilion disalur kepada projek pembangunan peringkat negeri termasuk pelaksanaan beberapa insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri akan mengeluarkan dana RM7.16 bilion manakala baki melebihi RM80 bilion dibiayai anak syarikat serta pihak swasta.


Pengarang :