Foto Facebook Galeri Shah Alam
SELANGORSENI

Galeri seni kontemporari bakal jadi lokasi pelancongan baru Selangor

SHAH ALAM, 6 OGOS: Galeri Seni Kontemporari dan Moden Shah Alam (Sama) bakal menjadi lokasi tarikan pelancongan baharu di negeri kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan galeri itu bakal menghimpunkan karya seni terkini tempatan dan antarabangsa apabila ia selesai diubah suai.

Katanya, ketika ini urusan pembelian bangunan milik Bank Negara di tengah bandar raya ini bagi menempatkan Sama sudah selesai.

“Kita sudah ada Galeri Shah Alam yang mempamerkan karya pelukis dan artis tetapi kali ini kita wujudkan satu lagi tarikan baharu berunsurkan seni iaitu Sama.

“Proses membeli kompleks bangunan milik Bank Negara di bandaraya ini sudah selesai dan ia akan diubah suai untuk dijadikan muzium seni rupa dan seni halus yang moden,” katanya.

Bercakap dalam bicara Bernama TV malam tadi, beliau berkata Kerajaan Negeri akan memberi peluang kepada penuntut dan graduan jurusan seni kreatif menjadikan Sama sebagai hab berkarya.

“Memandangkan bidang seni kreatif belum digembleng sepenuhnya kerajaan pusat, maka kita mahu perkasa sektor ini, sebab itu ia diberi tumpuan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Kerajaan Selangor berpendapat selain sektor perkilangan, pembuatan, logistik, pelabuhan dan lapangan terbang, kita juga harus memberi perhatian terhadap ekonomi kreatif,” katanya.

Ketika membentangkan RS-1 pada 27 Julai lalu Amirudin berkata Selangor akan membina muzium seni bagi merancakkan semula sektor pelancongan pascawabak Covid-19.

Antara projek dikenal pasti adalah pembinaan Sama di bawah inisiatif kluster pelancongan negeri sekali gus mengenengahkan kehebatan seni tanah air dan Asia Tenggara.

Terdahulu, Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk dana RM33.4 juta bagi pembelian kompleks bangunan milik Bank Negara untuk dijadikan galeri.

Sebelum ini, EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah memaklumkan galeri itu dijangka siap serta boleh dibuka kepada orang ramai selewat-lewatnya tahun depan.


Pengarang :