Pemain beregu wanita M Thinaah dan Pearly Tan berjaya meraih pingat emas ketujuh negara setelah mengalahkan pasangan beregu England pada aksi badminton akhir semasa Sukan Komanwel Birmingham 2022 di National Exhibition Center pada 8 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Ganjaran buat dua atlet Selangor menang di Sukan Komanwel

SHAH ALAM, 9 OGOS: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan memberi ganjaran kepada dua atlet dari negeri ini yang memenangi pingat pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.

M Thinaah menyumbangkan dua pingat emas menerusi acara badminton berpasukan campuran dan beregu wanita sementara Choong Javen, atlet pingpong pula menang perak acara beregu campuran.

Pengarah Eksekutif MSN Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata ganjaran akan diserahkan dalam masa terdekat selepas perbincangan bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Ganjaran ini bagi menghargai jasa dua atlet itu yang bertungkus lumus sehingga mendapat pingat Sukan Komanwel (di Birmingham),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Aksi Pemain perseorangan ping pong negara, Choong Javen ketika menentang lawanya dari Nigeria Aruna Quari dalam acara Ping Pong Berkumpulan Lelaki peringkat suku akhir sempena Sukan Komanwel Birmingham 2022 di National Exhibition Centre pada 31 Julai 2022. Foto BERNAMA

Pada 3 Ogos, Thinaah yang bergandingan dengan Pearly Tan menewaskan beregu India Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, 21-18, 21-17.

Pasukan badminton negara menang 3-1 ke atas India sekali gus membalas dendam terhadap kekalahan dialami pada temasya di Gold Coast, Australia, empat tahun lalu.

Thinaah meneruskan sensasinya dengan menyumbangkan emas kedua pada 8 Ogos. Kali ini, beliau dan Pearly menewaskan wakil England Chloe Birch-Lauren Smith 21-5, 21-8.

Sementara itu, Javen yang bergandingan dengan Karen Lyne menang pingat perak apabila menewaskan pilihan utama kejohanan dari India Sathiyan Gnanasekaran-Manika Batra di peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, mereka tewas kepada satu lagi wakil India Sharath Kamal Achanta dan Sreeja Akula pada aksi final.


Pengarang :